IBLIS dan
syaitan adalah musuh nyata manusia. Kedua-duanya termasuk kaum jin yang
dijadikan daripada api sangat panas dan tergolong dalam spesies makhluk ghaib,
iaitu tidak kelihatan dengan mata kasar manusia biasa, kecuali apabila ia
menjelma dalam bentuk tertentu.
Syaitan
dan iblis mempunyai empayar kerajaan yang besar, malah ada pihak mendakwa
nisbah seorang manusia 99 jin, manakala satu jin 99 malaikat, menunjukkan
banyaknya makhluk terbabit yang mempunyai tugas masing-masing.
Antara
tugas syaitan ialah:
1.
Menghasut manusia untuk melakukan kejahatan. Sebab itu Allah swt
mengingati manusia supaya berwaspada dengan hasutan terbabit.
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal
lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya
syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu
melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan menyuruh kamu berkata dusta
terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui.”
(al-Baqarah:168-169)
2.
Menakut-nakutkan manusia. Syaitan juga bekerja menakutkan dan
membimbangkan manusia, terutama berdepan persoalan rezeki, dengan
hidup miskin dan susah.
“Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia
menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedangkan Allah menjanjikan kamu
keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha
Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui.”
(al-Baqarah:268)
3. Menyesatkan
manusia.
“Tidakkah engkau melihat orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman
kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan
dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka
telah diperintahkan supaya ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan hendak
menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”
(an-Nisa’:60)
4. Menimbulkan
permusuhan sesama manusia. Cara syaitan ialah menimbulkan syak wasangka,
hasad dengki dan kebencian.
“Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan
kebencian di antara kamu dengan arak dan judi…”
(al-Maidah:91)
5. Melalaikan
dan menghalang manusia daripada mengingati Allah swt.
“…dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada
mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?”
(al-Maidah:
91)
6.
Mencari calon penghuni neraka.
“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka jadikanlah dia musuh;
sebenarnya dia hanya menyeru golongannya supaya menjadi penduduk Neraka.” (Fathir:6)
7. Berusaha
merayu manusia supaya mencintai dan memujanya.
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu
jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu!”
(Yasin:
60)
8.
Disebabkan tidak senang dengan ketenangan manusia, syaitan
mengada-adakan pelbagai onar, termasuk membisikkan sesuatu ke telinga dan
hati manusia.
“Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang
melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Dari kalangan jin dan
manusia.”
(an-Nas:
4-6)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan