Oleh Prof Dr Sidek Baba
MASYARAKAT Barat melihat konsep
berpasang-pasang atas nama persamaan dan hak. Lalu, lahirlah perjuangan
mengenai gender atau kejantinaan atas nama hak asasi dan emansipasi(pembebasan) yang mempertajamkan lagi jurang hubungan serta persefahaman akibat
berlakunya penindasan terhadap wanita, penentangan dan pemberontakan terhadap lelaki. Begitu juga
menjadikan wanita sebagai simbol seks dan menyebabkan rasa saling melengkapi
menjadi pudar dan pupus.
Perkara itu lahir dalam suatu keadaan
masyarakat yang tidak lagi menjadikan agama sebagai pedoman. Fahaman liberal yang
berkembang di kalangan masyarakat ini menyebabkan tuntutan persamaan dan hak
dilihat dari sudut biologikal semata-mata. Ia supaya tidak timbul rasa rendah
diri hingga menyebabkan wanita diperlakukan sesuka hati di rumah, tempat kerja
dan dalam masyarakat.
Ada juga masyarakat beragama
menggunakan ukuran budaya dan tradisi dalam mengatur hubungan lelaki dan wanita
hingga menyebabkan faktor agama menjadi faktor sampingan. Lalu, sesetengah
pihak membuat tanggapan sebab agamalah menjadikan wanita terkongkong dan
terbelenggu serta dominasi lelaki menjadi amat ekstrim. Keadaan ini menyebabkan
bakat dan potensi yang ada pada wanita tidak dimanfaatkan secara fitrah atau sebaik-baiknya berasaskan jalur syarak. Sedangkan,
peranan wanita pada zaman Rasulullah SAW tidak sedemikian.
Dalam al Quran, kisah penolakan manusia terhadap gender berlaku pada zaman Nabi Lut. Di sini, manfaat kejadian lelaki dan perempuan secara biologikal tidak dimanfaatkan. Akhirnya, lahir pola gender dalam hubungan manusia yang dikutuk oleh Allah swt. Nabi Lut mengajak mereka kembali kepada fitrah. Apabila keengganan mereka melampaui batasan menyebabkan Allah swt turunkan musibah sehingga kaum itu pupus.
Manifestasi sama juga berlaku di Barat
pada hari ini yang memberi kesan pengaruh kepada masyarakat manusia lain.
Kegiatan gay dan lesbian membudaya dan menjadi corak kehidupan masyarakat di
Barat. Akibat pola hidup yang tidak dipandu oleh nilai agama dan isu moral yang
dianggap relatif atau nisbi menyebabkan kegiatan hidup berlaku tanpa pedoman
murni. Akhirnya, ini menjerumuskan kehidupan masyarakat Barat kepada aliran
nafsu-nafsi dan mempertajamkan hubungan lelaki dan perempuan. Keadaan itu
menyebabkan lahirnya gerakan gender atau usaha pembebasan daripada dominasi
lelaki (emansipasi).
Kecenderungan itu akan membawa
persaingan sangat sengit sehingga akhirnya natijah dijadikan manusia
berpasangan itu tidak dapat dimanfaatkan. Lebih parah lagi, corak kekeluargaan
di kalangan sesetengah masyarakat Barat tidak lagi terbina atas asas yang
fitrah. Sebaliknya, semakin subur corak kehidupan kaum sejenis yang mengulangi semula pengalaman kaum Nabi Lut. Keadaan itu hingga menyebabkan berbangkit isu
genetik di Barat dan mengakibatkan keruntuhan sistem sos**l serta kekeluargaan
pada tahap membimbangkan. Ini juga menyebabkan Aids/HIV berkembang dan bakal
menimbulkan musibah sangat besar kepada umat manusia.
Kelelakian tidak lagi dilihat sebagai
faktor teras dalam membina keluarga. Keperempuanan pula tidak lagi dilihat
sebagai faktor pelengkap kepada sebuah keluarga cemerlang. Ini bakal
mencetuskan krisis kekeluargaan dan kemanusiaan yang parah kerana terbinanya
masyarakat dan terhasilnya sistem apabila konsep kekeluargaan tidak terbina
secara fitrah.
Agama Islam mengajar manusia
pentingnya konsep berpasang-pasang dimanfaatkan secara fitrah. Lelaki atau
suami perlu mampu mengenal dan menghargai potensi, bakat dan kelebihan yang ada
pada wanita atau ibu. Hal ini kerana kelebihan itu amat berguna bagi suami,
keluarga dan anak, khususnya dalam proses mengasuh dan mendidik anak menjadi
generasi cemerlang dan berguna.
Wanita atau ibu juga perlu mampu
mengenal dan menghargai potensi, bakat dan kelebihan yang ada pada lelaki atau
suami. Hal ini kerana daya kepemimpinan suami yang baik sangat diperlukan.
Ketangkasan dan sifat berani suami turut dituntut dalam proses membentuk anak
dan generasi tangkas dan cemerlang.
Rasulullah SAW memberi asas didik yang
baik merujuk kepada pengaruh persekitaran iaitu anak itu dilahirkan dalam
keadaan fitrah. Ibubapa yang bakal menyediakan persekitaran dan didikan baik
supaya mereka kekal dan terus berada dalam keadaan fitrah. Lukman al-Hakim
dalam surah Lukman, umpamanya, memberikan nasihat bersifat mendidik kepada anaknya supaya watak yang fitrah itu wujud pada diri mereka.
Pertama, rasa syukur kepada Allah swt. Sekiranya ibu bapa dapat menanamkan rasa syukur yang
tinggi kepada anak terhadap rahmah dan nikmat yang diberiNya, mereka akan
sentiasa berterima kasih terhadap didikan ibubapanya.
Kedua, jangan mensyirikkan Allah swt. Sekiranya ibu bapa mampu memberikan asas
akidah tinggi kepada anaknya dengan sikap tidak mensyirikkan Allah swt, bakal
membentuk jiwa kehambaan tinggi yang memungkinkan asas patuh, taat, tunduk dan
akur subur dalam diri anak. Kesan ini sekiranya ada, bakal menjadikan anak yang
sentiasa mengambil pertimbangan Allah swt dalam tingkah laku hidupnya.
Ketiga, ketaatan melakukan solat sebagai asas
mendidik hati anak supaya tunduk dan
mengakui kebesaran serta keperkasaan Allah swt. Ia supaya amalan solat memungkinkan
berlakunya perubahan diri positif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan