Ringkasan
Peristiwa Israk Dan Mikraj Sebelum Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan
dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda SAW
dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan
membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada
Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin
nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk
ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk”
itu. Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh
malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat
yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya
berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan
ialah:
i. Negeri
Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit
Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii.
Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan); Dalam perjalanan itu juga
baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan
dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Antaranya
: § Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila
dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal
ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah
kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700
kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
§ Tempat
yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur
Mayitah (tukang sisir rambut anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anaknya
(termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh
oleh Firaun kerana tetapi teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun
sebagai Tuhan).
§
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan,
kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan
berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat
kepala mereka untuk sujud (solat).
§
Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan
secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api
dan batu dari neraka Jahanam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak
mengeluarkan zakat harta mereka.
§ Satu
kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan
daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang
melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai
isteri / suami.
§ Lelaki
yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah
orang yang makan riba`.
§ Lelaki
yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah
lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah
tetapi masih menerima amanah yang lain.
§ Satu
kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi
berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti
biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu
yang dia sendiri tidak melakukannya.
§ Kaum
yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail:
Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah
(mencela, menghinakan) orang.
§ Seekor
lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya
semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takbur).
Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
§ Seorang
perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak
memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian
kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
§ Seorang
perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.
Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang
mensesiakan umurnya sampai ke tua.
§ Seorang
perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata
Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari
kiamat. Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian
masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala
anbia` dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa
Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu
diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu
dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat. Semasa Mikraj ( Naik ke
Hadhratul-Qudus Menemui Allah ): Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari
syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu
terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
i. Langit
Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa
dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan
harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat
huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
ii.
Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk
dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
iii.
Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv.
Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S. v.
Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang
dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
vi.
Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya
dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu
dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk
syurga tanpa hisab.
vii.
Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu
bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur
dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S.
bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah
akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu
menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat
lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu
mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah,
iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA
LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca
setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat
beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam
Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di
Mekah).
viii.
Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan
pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada
pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai
madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan
bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan.
Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat
menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya
baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
ix.
Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam.
Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki
di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada
masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
x. Tangga
Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat
Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas
sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya: Allah
S.W.T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu
dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil
Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau
berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat
melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau
kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia,
syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia
dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau
lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai
kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada
umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik
umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat.
Aku
kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa
sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu
perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam,
hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji
Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku
fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat. Selesai munajat,
Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S.
yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar
diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali
merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan
memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga. Selepas Mikraj Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia
semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan
pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu
dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa
Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu
berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
Wallahu’alam. (Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, Peristiwa Israk
dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali
setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati
pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan
menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang
memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi
keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah swt dan takut kepada
kekuasaan-Nya. Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan
dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada
melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk
menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut).
Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak
mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada
mereka. Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang
membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu
Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada
Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Mafhum Firman Allah S.W.T. :
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah
Al-Israa’: Ayat 1).
Adapun
terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan
langit. Berkata dia kepada langit, “Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana
Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut,
sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain.” Berkata langit,
“Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan,
bintang-bintang, beberapa falah, buruj, ‘arasy, kursi dan syurga ada padaku.”
Berkata bumi, “Hai langit, di tempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk
bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang
yang baik).” Bumi berkata lagi, “Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi
dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian
alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang
paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syariatnya juga di
tempatku.” Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian.
Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, “Ya Allah,
Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka
berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta
kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga
aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga.” Lalu Allah S.W.T
mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada
Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, “Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih
pada malam ini dan engkau ‘Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini.”
Jibrail A.S. bertanya, “Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?” Allah S.W.T
berfirman, maksudnya, “Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga
dan ambillah Buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu.” Kemudian
Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di
taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara
40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang
menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu
bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq?” Berkata buraq, “Ya Jibrail,
sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik
nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu
kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api
kerinduan.” Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang
yang engkau rindukan itu.” Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang
kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Buraq yang
diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.
Rujukan :
http://cintasuci.blog.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan