Hari ini
ramai rakyat Malaysia yang tidak bekerja termasuklah saya sendiri. Peluang itu
saya ambil untuk menulis. Tajuk yang saya pilih hari ini ialah Pintu Syurga
Terbuka Luas. Sebenarnya saya ingin bincang sikit berkenaan kepelbagaian amalan
yang perlu kita ambil dan lakukan.
Salah
satu persepsi yang perlu diperbetulkan di Malaysia ini ialah, masyarakat sering
memandang amal untuk dapat pahala dalam skop yang sempit. Sempit bagimana? Begini,
kalau kita tengok orang masih menganggap nak buat baik mesti terikat dengan
beberapa benda sahaja. Masjid, anak yatim, quran, solat, puasa, haji dan umrah.
Saya rasa
Pemikiran masyarakat kita masih membataskan kebaikan dan amalan kepada beberapa
perkara di atas. Saya amat terkejut bila seorang yang saya agak hormati dan
telah lama bertugas dalam pentadbiran agama berkata: Kalau kita nak pahala yang
banyak ialah sewaktu kita pergi ke Mekah kita hadiahkan al Quran ke Masjidil
Haram. OOO gitu ke? Kata saya dalam hati. Saya tak dapat jawab sebab saya
beliau sedang berucap. Itu salah satu contoh saja.
Satu
contoh lagi, saya sering menjumpai orang yang sedang membawa naskah surah yasin
yang hendak didermakan kepada masjid sempena kematian ahli keluarga mereka,
sedangkan masjid itu telah mempunyai ribuan surah yasin dan jemaahnya tak
sampai 50 orang. Sewaktu sebuah masjid di sebuah kampung mahu menggantikan
tongkat yang dipegang oleh imam pada hari jumaat, ribuan ringgit didermakan
secara terus sedangkan kutipan derma biasa masjid itu amat daif. Mereka
merasakan itulah pahala jariah yang besar kerana imam memegangnya sewaktu baca
khutbah. Sebenarnya banyak lagi contoh-contoh lain yang saya boleh utarakan
tetapi takut terlalu panjang pula tulisan ini.
Sebenarnya
amalan ibadat amat luas skopnya, yang kaya boleh mencari pahala dengan
hartanya, yang bertenaga boleh mencari pahala dengan tenaganya, yang berilmu
boleh mencari pahala dengan ilmunya dan begitulah seterusnya. Tajuk ini akan
saya sentuh lagi dilain masa kerana amat luas skopnya tapi hari ni saya nak
beri penekanan kepada satu benda. Dakwah melalui blog atau web.
Kalau
kita lihat, golongan yang banyak menulis blog yang berguna ialah golongan agama
sahaja. Kalau adapun golongan bukan berpendidikan agama, mereka akan cuba
bercakap pasal agama juga. Mana perginya doktor, engineer, pegawai, business
man dll. Mungkin golongan ini akan menjawab, kami tak pandai agama, kalau kami
tulis nanti melalut pulak. Betul, awak seorang doktor kalau tulis pasal agama
mesti melalut tapi mengapa awak tidak menulis berkaitan kedoktoran.
Mengapa awak membataskan sumbangan kepada
tajuk-tajuk kerohanian sahaja? Atau awak boleh menyumbang artikel anda dalam
laman blog berasaskan agama. Situasi ini masih amat menyedihkan. Begitu juga
orang kaya yang ingin menderma, mengapa tidak mendermakan wang anda untuk
membina web yang canggih, yang menjadi rujukan masyarakat. Web yang mengandungi
maklumat agama, kedoktoran, kaunseling, panduan keselamatan dan lain-lain.
Laman web seperti ini hampir tiada di dalam bahasa Melayu.
Kesedaran ini amat meluas di dalam masyarakat Arab.
Berbagai laman web yang besar-besar diasaskan oleh dermawan-dermawan yang
memahami Islam yang dinamik. Tengok saja laman web Dr Yusuf Qardawi, web Islam
online dan terlalu banyak untuk disenaraikan. Dalam laman Islam online ada
doktor-doktor pakar yang sedia memberi nasihat secara online mengikut jadual
tertentu.
Selain itu dermawan Arab juga sanggup membeli
hakcipta buku-buku untuk mereka berikan peluang download percuma dalam internet. Macam-macam buku yang dulunya amat
sukar untuk diperolehi tetapi kini berada di hujung jari penyelidik. Maklumat
mengenai kesihatan, perniagaan, pendidikan dan semua bidang dapat diambil
dengan mudah.
Mengapa bahan ilmiah terlalu mudah didapati dalam
laman web bahasa Arab dan hampir tiada dalam bahasa Melayu. Bagaimana perkara
ini boleh terjadi? Tidak lain dan tidak bukan kerana mereka menganggap pintu
syurga terbuka luas sedangkan orang Melayu menganggap pintu syurga itu terlalu
sempit.
Rujukan :
http://wacanailmuan.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan