Bersama Prof Dr Sidek Baba
BENCANA tsunami di beberapa negara di
Asia dan Afrika akhir tahun lalu serta terbaru Taufan Katrina yang melanda
Amerika Syarikat dilihat oleh sesetengah orang sebagai bencana alam. Bagi orang
beriman, faktor alam tidak boleh dipisahkan dengan faktor Pencipta. Sesuatu
kejadian yang berlaku tentu bersebab dan ada hikmah di sebaliknya bagi orang
yang mahu merenung dan berfikir.
Perjalanan alam ini adalah suatu
sunnah Allah swt bukannya sunnah alam. Sunnah Allah swt menghubungkan kejadian
dengan Pencipta dan Pengaturnya. Sunnah alam tidak menghubungkan manusia dengan
Pencipta, malah ia terjadi dengan sendiri. Tidak mungkin alam itu terjadi
dengan sendiri seperti tidak mungkin kereta, kapal terbang dan kapal laut
bergerak sendiri. Semuanya dipandu dan digerakkan oleh manusia.
Tetapi manusia tidak mampu
menggerakkan bintang dan mengawal sistem solar, apa lagi mengatur perjalanan
sistem galaksi yang amat raksasa, melainkan ada suatu kuasa yang amat Perkasa
mengaturkan semuanya itu. Ia dirujuk kepada kuasa Pencipta iaitu Allah swt.
Allah swt menggambarkan perkara ini
dalam firmanNya bermaksud:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit
dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut
membawa apa yang berguna bagi manusia dan apa yang Allah turunkan dari langit
berupa air, lalu Allah hidupkan bumi sesudah mati (kering), dan Allah sebarkan
di bumi itu segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan
antara langit dan bumi. Itulah tanda kebesaran Allah bagi mereka yang
memikirkan.”
(Surah 2, al Baqarah : ayat 164)
Al Quran tidak dituntut untuk diimani
sebahagiannya dan tidak diimani sebahagian yang lain. Kisah dalam al Quran,
peristiwa dirakamkan, peringatan diberi dan khabar gembira diutarakan serta
batasan yang dijadikan pedoman dan prinsip yang dijadikan ikutan adalah
cerminan keseluruhan daripada proses pengwahyuan yang perlu diimani oleh
manusia. Setiap yang dirakamkan dalam al Quran membawa maksud dan hikmah
tertentu untuk manusia berfikir dan renung. Ia supaya daripada semuanya itu
manusia mendapat pengajaran dan iktibar.
Peristiwa Israk dan Mikraj adalah suatu
ketentuan Allah swt terhadap hamba yang terpilih. Saat kejadian itu terhadap
Rasulullah SAW ialah ketika Baginda dihimpit tekanan dan cabaran pedih daripada
kelompok penentang yang ingin memadamkan cahaya Allah swt dan bertekad
menghapuskannya dari bumi.
Oleh kerana Nabi Muhammad saw adalah
manusia pilihan Allah swt untuk membawa suatu risalah besar untuk umat manusia,
maka tentu Allah swt memiliki kekuasaan untuk melakukan apa saja. Bagi orang
yang tidak beriman, peristiwa ini dianggap sebagai sesuatu yang lucu dan tidak
masuk akal. Tetapi, bagi mereka yang beriman meyakini bahawa Rasulullah saw
bukan seorang pendusta.
Seperti juga apabila berlaku peristiwa
tsunami di Aceh, bagi orang beriman, ia diterima dengan penuh keinsafan dan
iktibar bahawa kuasa Allah swt itu mengatasi segala-galanya. Bagi yang tidak
beriman, terus bertanya mengapa ia berlaku di suatu tempat di mana orangnya solat
dan beriman kepada Allah swt. Apa yang Allah swt tahu tidak sama seperti apa yang
manusia tahu. Hikmah di sebalik kejadian kadang-kadang tidak mampu diselami
oleh mereka yang tidak beriman.
Tsunami adalah bukti nyata berlakunya
kiamat kecil kepada manusia seperti kematian yang juga kiamat kecil kepada
setiap insan. Al Quran memberikan peringatan mengenai kiamat yang sebenar.
Gambaran kiamat itu tentunya membabitkan semua, tidak kira apa kedudukan kita
pada sisi Allah swt dan apa suasanapun kita berada ketika kiamat berlaku. Hal
ini kerana ia adalah ketentuan Allah swt. Bagi yang beriman dan beramal soleh,
Allah swt akan memberikan tempat setimpal di akhirat nanti. Bagi yang ingkar,
sombong dan melampau batas Allah swt akan memberikan balasan setimpal seperti
yang dijanjikanNya.
Hal yang sama berlaku terhadap Taufan
Katrina yang amat dahsyat menimpa penduduk di Amerika Syarikat. Kalaulah
manusia dikatakan memiliki kekuatan meramal dan mengatasi bencana, Allah swt
tunjukkan bagaimana faktor sunnatullah atau ketentuan Allah swt mengatasi
keupayaan teknologi dan saintifik yang dimiliki oleh manusia.
Sebesar mana suatu kuasa manusia,
akhirnya terpaksa tunduk terhadap ketentuan Pencipta.
Selagi mana manusia ingkar terhadap
sunnatullah dan tidak mengambil iktibar daripadanya, maka selagi itulah manusia
tidak akan belajar daripada sifat angkuhnya sendiri. Begitu juga tidak mendapat
hikmah daripada sesuatu kejadian.
Firman Allah swt bermaksud:
“Allah menimpakan angin itu kepada
mereka (kaum Aad dan Tsamud) selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus,
maka kamu lihat kaum Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka
tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).”
(Surah al Haaqqah : ayat 7)
Peristiwa Israk dan Mikraj juga adalah
ujian Allah swt kepada manusia. Bagi yang beriman mengukuhkan lagi imannya
kepada Allah swt. Bagi yang ingkar menambahkan keingkarannya kerana bagi yang
ingkar mereka tidak percaya kepada yang ghaib. Logik akal mereka hanya
bersandarkan kepada sesuatu yang nampak pada penglihatan dan pemandangan
mereka. Sedangkan sunnatullah ada pada yang nampak dan ada pada yang manusia
tidak nampak. Allah swt memiliki kekuasaan menampakkan sesuatu untuk manusia
percaya dan tidak menampakkan sesuatu untuk manusia percaya.
Sedangkan Allah swt memiliki kekuasaan
menghadirkan yang wujud dan tidak setiap yang wujud mesti maujud atau terlihat
dengan nyata.
Roh, umpamanya, wujud pada diri
manusia dan tidak maujud seperti adanya tangan dan kaki. Tetapi tangan dan kaki
tidak akan bergerak tanpa adanya roh yang memberi hayat kepada manusia. Roh itu
bukan milik manusia dan bukan urusannya. Kalaulah roh itu milik manusia dan
urusannya, maka roh boleh kekal pada tubuh manusia selama-lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan