Setiap manusia pasti akan menghadapi
liku-liku putaran hidup bagaikan roller-coaster. Adakalanya kita berada megah
di atas dan adakalanya kita berduka di bawah. Kedua-duanya sebenarnya merupakan ujian bagi
kita sebagai hamba ALLAH SUBHANAHU WA TAALA di muka bumi ini agar dapat dikenal-pasti siapakah di antara kita yang
paling berkualiti amalnya menerusi cara kita menghadapi ujian-ujian tersebut.
Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya
mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di
antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu),
lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)
– al-Mulk (67) : 2
Ujian daripada
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ini meliputi seluruh hamba-Nya yang taat
mahupun yang derhaka. Malah ujian bagi hamba-hamba-Nya taat adalah lebih hebat
berbanding dengan mereka yang engkar. Rasulullah
s.a.w pernah di tanya:
Ya Rasulullah, siapakah yang paling keras mendapatkan ujian? Baginda menjawab: Para Nabi dan pengikut-pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan.
– Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (no:
2322)
Justeru itu
segala ujian daripada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA ini haruslah kita
tempuhi dengan penuh kesabaran agar ianya dapat mendekatkan kita kepadaNya dan
menerima segala limpah rahmatNya. Firman
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA :
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji
kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai)
kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta
hasil tanaman. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu)
orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
(Innalillahi wa inna ilahirajiun)
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan
Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang
dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta
rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.
– al-Baqarah (2) : 157
Rata-rata umat Islam di Malaysia hanya
akan menyebut Innalillahi wa inna ilahirajiun apabila menerima berita kematian.
Tapi menerusi ayat ini dapatlah kita fahami bahawa sekiranya kita ditimpa apa
jua bentuk musibah atau mendengar orang lain didatangi bencana maka hendaklah
kita mengucapkan kalimah tersebut.
Apakah itu sabar?
Sabar adalah teguh dan tetap berada di
atas landasan yang dikehendaki oleh agama apabila berhadapan atau menentang
sesuatu pengaruh yang ditimbulkan oleh hawa nafsu baik ketika ingin mengerjakan
perbuatan untuk mencari ketaatan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA, melakukan perkara-perkara maksiat dan ketika ditimpa
musibah. Manusia sentiasa
berada di dalam situasi di mana pengaruh agama sentiasa berperang dengan hawa
nafsu. Demi untuk menjamin
hawa nafsu dapat ditewaskan maka sifat sabar itu perlu ada bagi setiap orang
yang beriman. Hendaklah kita
fahami bahawa ujian ALLAH SUBHANAHU WA TAALA boleh berada dalam bentuk nikmat
kebaikan dan juga musibah yang berbentuk kesusahan. Firman-Nya:
Kami menguji kamu dengan kesusahan dan
kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
- al-Anbiya’ (21) : 35
Dari ayat di atas dapat kita nyatakan
bahawa ujian yang
perlu dihadapi oleh manusia ini terdiri dari dua bentuk.
PERTAMA: Perkara yang sesuai dengan hawa
nafsu manusia seperti kekayaan, berjawatan tinggi, terkenal dan mengecapi semua
nikmat dunia yang lain. Manusia
ketika ingin mencapai nikmat dunia, mereka perlu untuk berusaha dengan
bersungguh-sungguh serta bersabar. Apabila nikmat tersebut telah dikecapi maka
ujian yang datang darinya juga begitu hebat maka kesabaran memainkan peranan
yang penting demi menjamin bahawa nikmat dunia yang diperolehi itu dipergunakan
sesuai dengan kehendak ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan Rasul-Nya. Sebagai contoh,
kekayaan yang kita perolehi adakalanya menyebabkan manusia lupa daratan,
menjadi angkuh dan menjauhkannya dari perintah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Oleh itu hendaklah hawa nafsu itu
diperangi menerusi sifat sabar agar kekayaan bukan sahaja akan menjadikannya
insan yang beriman malah dibelanjakan hartanya itu sesuai dengan kehendak ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dan Rasul-Nya. ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA mengingatkan kita melalui firman-Nya:
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu
daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah),
sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
– al-Munaafiquun (63) : 11
KEDUA: Ujian dalam kategori ini
meliputi perkara-perkara yang tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsu manusia.
Ianya boleh terjadi disebabkan perbuatan atau usaha manusia itu sendiri ataupun
ianya datang di luar kawalan manusia seperti bencana yang tidak dapat dielakkan.
Ujian yang tidak selari dengan hawa
nafsu kita tetapi terjadi disebabkan perbuatan manusia sendiri terbahagi kepada
dua bentuk.
a) KETAATAN : Manusia memerlukan kesabaran
tatkala hendak melaksanakan amalan-amalan yang berbentuk ketaatan. Ini adalah kerana ujian yang
dihadapi oleh seseorang apabila hendak melaksanakan ibadah sekiranya tidak
dihadapi dengan penuh kesabaran akan menyebabkan gagalnya perlaksanaan amalan
tersebut. Sebagai contoh yang
mudah apabila kita hendak melaksanakan solat tahajud atau subuh yang mana kita
perlu menghadapi ujian malas untuk bangun awal dari tempat tidur kita.
Sekiranya kita tidak sabar untuk menghadapi ujian tersebut maka akhirnya kita
akan memilih tilam serta bantal yang empuk dari beribadah di atas sejadah. Firman
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA:
“Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan
langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah
engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepada-Nya;
adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding dengan-Nya?”
– Maryam (19) : 65
Segala amalan yang boleh membawa kita ke
syurga dilingkari oleh perkara-perkara yang tidak disenangi oleh hawa nafsu
yang perlu kita hadapi agar perlaksanaannya menjadi realiti. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal
yang tidak disukai (oleh hawa nafsu), sedangkan neraka di kelilingi oleh
syahwat.
Hadis riwayat Imam Muslim (no: 2823)
b) KEMAKSIATAN: Manusia juga memerlukan
kesabaran yang tegar untuk menghindarkan diri dari melakukan
perbuatan-perbuatan maksiat baik dari segi perbuatan, perkataan dan keinginan
hatinya. Maksiat itu walaupun mempunyai daya tarikan yang kuat namun ianya
sebenarnya tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsu manusia kerana pada
hakikatnya ia akan membawa keburukan kepada manusia. Kita ambil contoh melakukan seks
bebas. Perbuatan tersebut sememangnya dapat memuaskan nafsu syahwat manusia,
namun ia sebenarnya memusnahkan sistem kekeluargaan manusia, menyebarkan
penyakit berjangkit serta membawa gejala sosial yang menghancurkan generasi
masa hadapan. Lantaran itu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melarang perbuatan maksiat.
Firman-Nya:
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku
adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan
melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta
kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu
mengambil peringatan mematuhi-Nya.
- al-Nahl (16) : 90
Ujian yang datang tanpa dapat dikawal
oleh manusia dalam bentuk
bencana mahupun
musibah yang dihadapi juga terdapat dua bentuk.
a) Musibah
yang melanda namun manusia mampu menghindarinya seperti penganiayaan sesama
manusia, dipulaukan oleh masyarakat, dihina oleh orang ramai melalui perbuatan
dan ucapan. Sebagai contohnya ujian yang dihadapi oleh para pendakwah yang
dicemuh oleh masyarakat sekelilingnya yang jahil dan musuh-musuh ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA. Dia sebenarnya boleh meneruskan dakwahnya dengan cara yang
penuh hikmah dan bersabar atas ujian tersebut tanpa melakukan apa-apa balasan
yang akan memburukkan lagi keadaan. Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA:
Dan bersabarlah terhadap apa yang
dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka
dengan cara yang baik.
– al-Muzzammil (73) : 10
Walaupun begitu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA membenarkan
kita untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh pihak lain tanpa melakukannya
secara berlebih-lebihan namun bersabar itu adalah jalan yang lebih baik.
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak
lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang
telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang
demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
– al-Nahl (16) : 126
b) Musibah
yang melanda manusia dan dia tidak mampu untuk menghalangnya sama sekali. Contohnya seperti kematian, kemarau
berpanjangan, kecacatan, wabak penyakit, banjir besar dan bencana-bencana alam
yang lain. Apabila terjadinya musibah sedemikian rupa maka hendaklah kita
menghadapinya dengan keredhaan dan penuh kesabaran. Firman ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji
kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai)
kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta
hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
– al-Baqarah (2) : 155
Haruslah kita ingati bahawa musibah yang
menimpa manusia itu ada hikmah yang tersembunyi. Sebagai contohnya bagi mereka
yang berada dalam daerah yang dilanda wabak taun dan menghadapinya redha dan
penuh kesabaran maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan memberinya ganjaran seperti
seorang yang mati syahid.
‘Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah
s.a.w. tentang hal wabak taun, maka diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. bahawa
wabak taun ialah satu bentuk siksa Allah yang dikirimkan kepada sesiapa sahaja
yang dikehendaki-Nya, tetapi Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi para
hamba-Nya yang beriman. Maka seorang mukmin yang berada di daerah yang
dijangkiti wabak itu jika sabar dan ikhlas kerana dia mengerti tidak akan
terkena wabak itu kecuali kalau memang sudah ditakdirkan Allah baginya, maka
Allah akan mencatat baginya sebagai ganjaran seperti pahala seorang yang mati
syahid.
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no:
3474)
Justeru itu dapatlah kita fahami bahawa
semua umat manusia terdedah kepada pelbagai bentuk ujian daripada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dan kenyataan ini memerlukan setiap orang menyemai sifat
kesabaran yang hakiki dalam setiap gerak-geri hidupnya. Menyedari akan
pentingnya sifat kesabaran ini maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberikan
keutamaan yang besar bagi mereka yang sabar. Di antara keutaman-keutamaan
tersebut adalah seperti berikut:
a) Sifat
sabar menunjukkan seseorang itu memiliki keimanan yang tinggi kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Sangat mengagumkan keadaan seorang
mukmin sebab segala keadaan untuknya (dianggap) baik dan tidak mungkin terjadi
demikian kecuali bagi seorang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur maka
syukur itu lebih baik baginya. Dan bila menderita kesusahan dia sabar maka
kesabaran itu lebih baik baginya.
- Hadis riwayat Imam Muslim (no: 2999)
b) Mereka
yang sabar akan menerima ganjaran pahala yang tidak terbatas dan memudahkannya
untuk menjadi ahli syurga. Firman
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA:
Sesungguhnya orang-orang yang
bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.
– al-Zumar (39) : 10
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman:
“Apabila saya menguji seorang hamba-Ku dengan buta kedua matanya, kemudian dia
sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan Syurga.
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no:
5653)
c) Mereka
yang sabar sentiasa dekat dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan mudah
untuk menerima bantuan-Nya bagi menghadapi kehidupan yang mendatang. Firman-Nya
Sesungguhnya Allah menyertai(membantu)
orang-orang yang sabar.
– al-Baqarah (2) : 153
d) Kesabaran
termasuk dalam kategori amalan yang sangat baik dan dituntut untuk dikerjakan. Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA:
Dalam pada itu (ingatlah), orang yang
bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang
demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
(melakukannya).
– al-Syuura (42) : 43
e) Kesabaran
menunjukkan seseorang untuk memiliki kekuatan yang hakiki. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Bukan ukuran kekuatan seseorang itu
dengan bergusti tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal
hawa nafsu ketika marah.”
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no:
6114)
Demikanlah beberapa keutamaan sifat
sabar yang sempat penulis perturunkan. Adalah harapan penulis melalui
keutamaan-keutamaan yang dipaparkan ini ianya akan menjadi pencetus yang
membakar semangat bagi para pembaca untuk menjadi insan yang penyabar terutamanya
ketika menghadapi pelbagai ujian daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Apatah lagi
hidup pada zaman yang serba moden ini kita semakin terdedah dengan ujian-ujian
yang semakin getir yang memerlukan kita untuk memaksimumkan penyemaian sifat
kesabaran dalam jiwa kita.
Sumber :
Mohd Yaakub bin Mohd Yunus di Minda Akob
Mohd Yaakub bin Mohd Yunus di Minda Akob
Tiada ulasan:
Catat Ulasan