Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 7 Ogos 2012

F 99 KEPUASAN SEBENAR HANYA TERDAPAT DALAM ISLAM

KEPUASAN adalah sesuatu yang sentiasa dicari oleh setiap insan. Bagaimana kepuasan yang dicari serta apa yang diraih dari kepuasan, terpulanglah kepada diri setiap insan itu sendiri. Lebih-lebih lagi dalam beragama.

Setiap amalan dalam beragama adalah untuk mencari kepuasan dan kepuasan beragama yang hakiki hanya ada pada Islam. Sebab Islam adalah agama fitrah, iaitu tuntutan yang seiring dengan fitrah atau sifat semula jadi manusia itu sendiri.

Allah s.w.t. berfirman:

Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.
(ar-Ra’d: 28).

Firman-Nya lagi:

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
(ar-Rum: 30).

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Semua anak dilahirkan membawa (potensi) fitrah beragama yang benar. Ibu bapalah yang menjadikan ia menganut agama Yahudi, Nasrani atau Majusi, sebagaimana halnya binatang akan menghasilkan binatang juga.
(Riwayat Muslim).

Sayid Qutb berkata: “Pada keseluruhannya umat manusia itu, kecuali segelintir dan untuk sementara sahaja, tidak ingkar dari dasar ketuhanan dan tidak menafikan wujudnya Tuhan. Tetapi mereka sama ada tersalah pilih ketika di peringkat mengenal hakikat Tuhan yang sebenar, ataupun mereka menyekutukan Tuhan yang sebenar dengan tuhan-tuhan yang lain, sama ada dalam bentuk ibadah dan akidah kepercayaan, ataupun dalam bentuk ketaatan dan kepatuhan pada pemerintahan dan kekuasaan. Sedang kedua-dua bentuk itu (pemerintahan dan kekuasaan) adalah syirik yang boleh menyebabkan manusia itu terkeluar dari agama Allah…” (Petunjuk Sepanjang Jalan; ms: 41).

Setiap insan yang ikhlas dalam mencari kepuasan hakiki yang hanya dijanji dan dijamin oleh Allah s.w.t. melalui agama suci-Nya, Islam. Lambat laun seseorang itu akan mendapat nur dan hidayah-Nya.
Itulah yang berlaku ke atas Mohd. Salim Abdullah, 56. Daripada seorang yang taat dan patuh serta menjadi pengunjung setia kuil, akhirnya menemui jalan kembali kepada agama fitrah, Islam.
Segalanya berlaku kerana mahu mencari dan mendapatkan kepuasan yang hakiki ketika di usia remaja.
Meskipun pelbagai amalan ritual keagamaan ketika menganut kepercayaan Hindu telah dilalui dan diikuti, namun tidak ada pengakhiran terhadap kepuasan hakiki beragama yang dicari diperoleh untuk dikecapi.

“Semua amalan ritual Hindu pernah saya lakukan, termasuk mengusung kavadi pada upacara Thaipusam tetapi ia gagal memenuhi tuntutan naluri mendapatkan kepuasan mengenai hakikat ketuhanan dalam sanubari saya,” cerita pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini.
Menurut Mohd. Salim, pertarungan dalam mencari erti kepuasan amalan keagamaan dalam jiwa mendorong beliau berhijrah dari Taiping ke Kuala Lumpur demi mendekati dan mendalami Islam bagi memenuhkan tuntutan nalurinya.
“Saya lakukan ini semata-mata untuk mendapatkan kepuasan yang hakiki dalam amalan beragama,” tegasnya.

Menurut Mohd. Salim, pencarian melalui Islam bermula hasil pergaulannya dengan rakan-rakan dari Pakistan ketika bekerja secara kontrak dengan salah sebuah syarikat swasta di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Melalui rakan Pakistan inilah saya kenal dan mula mendekati Islam bagi memenuhi tuntutan naluri diri,” jelasnya yang mendapat hidayah pada usia 18 tahun.
Menurutnya, dia kemudian berusaha keras mendapatkan guru yang benar-benar arif mengenai Islam bagi mendapatkan jawapan mengenai pesanan lelaki berjubah yang hadir dalam mimpi dan memintanya mengamalkan surah tiga kul.
“Mimpi itu benar-benar mendorong saya untuk mengetahui apa dia surah tiga kul (al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas). Alhamdulillah saya menemui guru untuk membantu saya mengenali Islam dan apa dia surah tiga kul itu ,” katanya.
Selepas hampir setahun mengucap kalimah syahadat dan mula beramal dengan syariat Islam, beliau diterima menjadi anggota tentera.

Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.:

“Tinggalkan oleh mu apa yang meragukan mu kepada yang tidak meragukan mu. Sebab, kebenaran adalah ketenteraman dan kedustaan adalah keraguan.” (Riwayat al-Hassan ibnu ‘Ali).

“Sejak itu bukan jiwa saya sahaja yang rasa tenteram dan menemui jalan kepuasan yang saya cari-cari sebelum ini, malah rezeki saya juga bertambah baik,” ujar Mohd. Salim.
Dalam tentera katanya, beliau mengguna setiap peluang yang ada untuk mendalami Islam melalui pelbagai aktiviti keagamaan serta mendekatkan diri dengan guru-guru agama ATM.

“Alhamdulillah, berkat minat, kesungguhan dan keikhlasan terhadap apa yang dilakukan membolehkan saya dinaikkan pangkat sehingga menjadi Pegawai Waran 1 sebelum bersara sebaik genap usia 45 tahun pada 1994 lalu,” beritahunya yang bertemu jodoh dengan dan berkahwin dengan gadis India Muslim, Bisah Abdullah pada tahun 1971.
Kini mereka masing-masing berusia 56 tahun. Menyingkap mengenai jodoh, Mohd. Salim berkata, beliau mendapat calon isteri selepas ditemukan oleh keluarga angkatnya.

“Saya terima sahaja cadangan dan usaha murni ayah angkat saya itu. Alhamdulillah kami bahagia hingga hari ini dengan dikurniakan lima orang anak,” katanya yang telah dua kali mengerjakan ibadah haji bersama isterinya pada tahun 1995 dan 2002.
Katanya, kali pertama menjejak kaki ke Tanah Suci iaitu sewaktu mengerjakan umrah pada 1990 benar-benar memberi kesan padanya.

“Ia seperti mimpi. Macam tidak percaya saya boleh berada di hadapan Kaabah sendirian. Semua ini tidak pernah terlintas dalam fikiran saya sebelum ini,” jelas Mohd. Salim.
Sejak itu, beliau semakin sayang, kasih dan teramat mencintai Islam.
Beliau mula berazam melakukan sesuatu untuk menghidupkan kembali roh Islam kepada anak-anak dan masyarakat muslim sekeliling dengan terus mendalami ilmu-ilmu Islam hingga hari ini.
Jadi apabila rakan bertanya apa yang hendak dibuat selepas bersara, Mohd. Salim pantas menjawab, mahu berbakti untuk agama.
“Dapat buka dan tutup pintu surau atau masjid setiap haripun jadilah,” katanya mengimbau azamnya ketika ditanya rakan-rakan sebaik menamatkan perkhidmatan dalam ATM, 12 tahun lalu.

Kini Mohd. Salim boleh berbangga, kerana bukan setakat menjadi seorang daripada yang membuka dan menutup pintu surau atau masjid, malah bergelar Guru Besar dengan memiliki sekolah al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sendiri yang beroperasi di kawasan taman perumahan yang didiaminya di Taman Megah, Sungai Jelok, Kajang.
Malah dia juga terus bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan dengan menjadi pengerusi serta ahli jawatankuasa beberapa badan pertubuhan keagamaan khususnya, Sekolah Agama, Surau, Masjid dan Keralah Muslim (India Muslim) serta rukun tetangga di sekitar Hulu Langat dan Kuala Lumpur.
Kesemua anak-anaknya pula telah berjaya dalam kerjaya masing-masing dan berkeluarga di mana tiga daripada anaknya berkhidmat dalam tentera.
Dua anaknya berpangkat Kapten dalam ATM turut membantunya menjayakan sekolah berkenaan.

Kelima-lima anaknya ialah Mohd. Farouk, 32, (SPM), Siti Khadijah, 31, (STPM), Kapten Abdul Rhaman 29, (Maktab Tentera) Kapten Siti Fatimah, 27, (UPM) dan Siti Zaleha, 21, yang kini menuntut di Universiti Malaysia Sabah dalam pengajian seni.
“Saya yakin dengan janji Allah s.w.t., sesiapa yang ikhlas dan jujur menghidupkan roh agama-Nya dalam keluarga dan masyarakat pasti dapat ganjaran sama ada di dunia mahupun akhirat. Dan inilah kepuasan hakiki yang saya cari sebelum ini,” ujarnya.

Oleh: W. RAHIMAH DRAMAN

Sumber: Utusan Malaysia 261006


Tiada ulasan:

Catat Ulasan