(Tafsir
Surah al-Maidah ayat 66) Jika mereka beramal dengan apa yang diturunkan oleh
Allah swt nescaya Dia menjamin rezeki mereka dengan menurunkan hujan, hasil
bumi yang berkat kepada mereka sebagai kurniaan Allah swt, sebagaimana
firman-Nya kepada orang-orang yang beriman yang bermaksud:
“Kalaulah penduduk negeri itu beriman dan bertakwa nescaya Kami bukakan
kepada mereka keberkatan yang datang dari langit dan bumi.”
(Surah
al-Anfal: 96)
Allah
Taala beri keberkatan kepada mereka. Bagaimanapun ada perbezaan antara berkat
dan kekayaan. Ada negeri yang kaya raya tetapi tidak ada keberkatan dalam
pentadbiran kerajaannya.
Negeri
itu kaya tetapi susah dengan banyaknya maksiat dan sebagainya dengan sebab
kekayaan yang diperolehi.
Ini
menandakan tidak adanya keberkatan dalam kekayaan yang diperolehi itu akibat
penyalahgunaan kekayaan untuk tujuan yang bercanggah dengan ajaran Allah SWT.
Sementara
perkataan berkat hanya ada dalam Islam sahaja. Dalam ilmu ekonomi Barat tidak
ada perkataan berkat. Begitu juga semua sistem atau teori Barat termasuk
kapitalisme, liberalisme, nasionalisme, sosialisme, komunisme dan sebagainya
tidak ada persoalan yang berkaitan dengan keberkatan. Apa yang ada ialah persoalan
kekayaan, kesenangan dan kemajuan.
Berkat
bermakna sekiranya kita kaya, kita menjadi baik dengan kekayaan yang
diperolehi. Rezeki yang sedikit membawa kebaikan yang banyak.
Berkat
yang dikurniakan oleh Allah swt apabila seseorang itu beriman dan bertakwa. Ini
perkara yang dijanjikan oleh Allah swt.
Tetapi
Allah Taala nyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Telah zahir keburukan di darat dan di laut hasil dari kerja yang
dilakukan oleh tangan-tangan manusia supaya dirasakan kepada mereka sebahagian
daripada apa yang mereka kerjakan mudah-mudahan mereka kembali kepada Allah.” (Suratur Rum: 41)
Senang
pada zahirnya tetapi susah pada hakikatnya. Antara lain ialah duit banyak
tetapi tidak tahu bagaimanakah cara menggunakannya.
Wang yang
digunakan untuk membuat sesuatu, tidak memberi faedah dan tidak mendatangkan
pahala serta kebaikan daripada Allah SWT.
Ini
adalah janji dari Allah swt untuk mengurniakan rezeki kepada orang Yahudi.
Wahai orang Yahudi, wahai ahlil kitab, masuk Islamlah kamu. Kamu tegakkan
Taurat dan Injil, nescaya kamu selamat.
Ramai di
kalangan pendita-pendita Yahudi takut masuk Islam. Mereka menyangka Jika masuk
Islam mereka akan bertukar perwatakan, yang menjadi pemimpin tidak lagi menjadi
pemimpin, dan yang kaya menjadi miskin.
Mereka
nampak dunia semata-mata tetapi mereka tidak nampak apakah kebaikan yang akan
diperolehi di hari akhirat kelak.
Rasulullah
s.a.w. menyatakan kepada orang yang beriman dalam satu hadis yang diriwayatkan
oleh Abu Hatim bahawa suatu hari Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud;
“Hampirlah ilmu itu dihilangkan oleh Allah.”
Dalam
hadis yang lain diriwayatkan bahawa makna menghilangkan ilmu itu ialah
dimatikan ahli-ahli ilmu (para ulama). Sementara orang Islam tidak beramal
dengan ilmu.
Akibat
itu ilmu menjadi hilang dan ilmu yang paling pertama hilang ialah ilmu
pembahagian harta pesaka yang menjadikan tanda hampirnya kiamat, sehingga tidak
ada seorangpun yang mengetahui cara pembahagian harta pusaka mengikut hukum
Islam.
Ada
perancangan di peringkat antarabangsa untuk menghapuskan sistem pembahagian
pusaka menurut Islam kerana mendakwa kononnya Islam tidak berlaku adil terhadap
lelaki dan perempuan dalam pembahagian pusaka.
Akhirnya
perancangan itu akan berjaya sekiranya orang Islam tidak mempertahankan hukum
Islam. Bila para ulama membisu seribu bahasa, tidak berani menegakkan yang hak,
akhirnya Allah Taala menghilangkan ilmu dengan mematikan ulama.
Apabila
Nabi s.a.w. mengatakan hampirlah diangkat ilmu, lalu seorang sahabat yang bernama
Ziad bin Labit berkata, “wahai Rasulullah, bagaimana diangkatkan ilmu pada hal
kami membaca al-Quran dan kami mengajarkannya kepada anak-anak kami.”
Dalam
satu riwayat yang lain, “kami ajar kepada anak-anak kami, anak-anak kami pula
mengajar kepada cucu-cucu kami, cucu-cucu kami mengajar kepada cicit-cicit
kami, mana boleh diangkatkan ilmu.”
Nabi
menjawab dengan sabdanya yang bermaksud; “Apakah engkau ni wahai Ibnu Labit,
sesungguhnya aku berpendapat engkaulah orang yang paling faham di kalangan penduduk
Madinah. Tetapi di dalam perkara ini kamu tidak memahaminya.”
“Tidakkah,
Taurat dan Injil berada di tangan orang-orang Yahudi dan Nasara? Taurat dan
Injil tidak boleh berbuat apa-apa kepada mereka itu kerana mereka meninggalkan
perintah Allah. Allah swt berfirman yang bemaksud;
“Kalaulah sekiranya mereka itu menegakkan Taurat dan Injil dan apa yang
diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka (al-Quran) nescaya mereka itu
boleh makan rezeki dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Di kalangan
mereka itu ada golongan yang sederhana dan kebanyakan mereka itu alangkah
buruknya apa yang mereka lakukan.”
(Surah
al-Maidah:66)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan