Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 6 Ogos 2012

F 62 DUA PULUH SATU CIRI-CIRI HAMBA ALLAH YANG SOLEH

1-Berdoa kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, memohon keampunan dosa dan memohon terpelihara daripada seksaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
– Surah Ali Imran, ayat 15 & 16.

“Katakanlah (wahai MUHAMMAD): “Mahukah supaya aku kabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan daripada ALLAH.” Dan (ingatlah), ALLAH sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.”

 “(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka.”

2-Bersabar, bercakap benar, Taat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan menginfaqkan hartanya ke Jalan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
– Surah Ali Imran, ayat 17.

 “(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah ALLAH), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah ALLAH), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan ALLAH), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.”

3-Menzahirkan penyembahan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan merendahkan diri
- Surah An-Nisa’, ayat 172.
  
“(Nabi Isa) Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi ALLAH, demikian juga (sikap) malaikat yang sentiasa berdamping (dengan ALLAH). Dan sesiapa yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada ALLAH, serta ia berlaku sombong takbur, maka ALLAH akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya.”

4-Hanya meminta pertolongan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
- Surah Al-Isra’, ayat 2.
  
“Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): “Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)”.

5-Menunaikan Solat dan berkomunikasi dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
- Surah Al-Alaq, ayat 10.

“Seorang hamba ALLAH apabila ia mengerjakan sembahyang?”

6- Berdoa kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan lemah lembut tanpa
jemu
- Surah Maryam, ayat 2-4.
  
“(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai MUHAMMAD), kepada hambaNya Zakaria.”

“(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.”
   
“Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.”

7- Bersabar dengan perkataan buruk dan taat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
- Surah As-Sad, ayat 17.

“Bersabarlah (wahai MUHAMMAD) terhadap apa sahaja yang mereka katakan, dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan ugamanya); sesungguhnya ia adalah sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan bersabar mematuhi perintah Kami).”

8- ALLAH SUBHANAHU WA TAALA adalah tempat pengaduannya dan tempat ia memohon pertolongan
- Surah Al-Qamar, ayat 28.

 “Dan kabarkanlah kepada mereka, bahawa sesungguhnya air (telaga mereka) terbahagi di antara mereka dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu dihadiri oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya).”

9- Memiliki Ilmu dan Takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
- Surah Al-Fathir, ayat 28.

“Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) ALLAH dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”

10- Mengingati hari Kiamat
- Surah Al-Mukmin, ayat 15.

 “Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.”

11- Bersikap rendah hati dan menyelamat orang lain
- Surah Al-Furqan, ayat 63.

“Dan hamba-hamba (ALLAH) Ar-Rahman (yang diredaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”

12-Solat di malam hari
- Surah Al-Furqan, ayat 64.

“Dan mereka (yang diredai ALLAH itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.”

13-Berdoa supaya dijauhi daripada neraka jahanam
- Surah Al-Furqan, ayat 65.
  
“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahanam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah kebinasaan yang kekal.”

14-Tidak boros dan tidak kedekut
– Surah Surah Al-Furqan, ayat 67.
  
“Dan juga mereka (yang diredai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

15-Tidak mensyirikkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, bertaubat, beriman dan beramal soleh
– Surah Al-Furqan, ayat 68, 70  &  7 1.

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama ALLAH, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya.”
  
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, ALLAH akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

“Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat.”

16-Tidak terpengaruh dengan keindahan dunia dan tidak disesatkan oleh syaitan
-Surah Al-Hijr, ayat 39 & 40.
  
“Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”

“Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik.”

17-Tidak takut dan tidak bimbang
– Surah Taha, ayat 77.

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukulah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam.”

18-Sentiasa berdoa kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memohon keampunan dan Kasih Sayang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
– Surah Al-Mukmin, ayat 109.

“Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat.”

19-Sentiasa bersyukur kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
– Surah As-Sabak, ayat 13.

“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): “Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.”

20-Tidak berputus asa daripada Rahmat ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
– Surah Az-Zumar ayat 35.

“(Limpah kurnia yang demikian, diberikan kepada orang-orang yang bertakwa) kerana ALLAH hendak menghapuskan dari mereka (kalaulah ada) seburuk-buruk amal perbuatan yang mereka telah lakukan, serta membalas mereka, akan pahala mereka, dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan”.

21-Takut kepada Azab ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
– Surah Az-Zumar, ayat 16.

“Bagi mereka (yang kafir disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka; dengan (azab) yang demikian, ALLAH menakutkan hamba-hambaNya: “Oleh itu, bertakwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu!”


Kitab Membentuk Kecerdasan daripada Al-Quran , M/S : 208 & 209.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan