Oleh Dr
Danial Zainal Abidin
TAKWA
mempunyai bajanya dan apabila ramuan yang sesuai digunakan, takwa akan hidup
dengan subur. Antara baja diperlukan untuk kesuburan takwa ialah
muhasabah dan taubat. Umat Islam perlu berani merenung ke dalam diri
dan melakukan muhasabah ke atas diri sendiri.
Khalifah
Umar ibn Khattab pernah berkata,
“Muhasabahlah serta hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung oleh Allah
swt. Mereka yang berani melakukan muhasabah dan kemudian membuat perubahan
positif ke atas diri sendiri, merekalah orang yang akan berjaya.”
Dalam
surah al-Imran, ayat 135, Allah memuji golongan yang sanggup kembali ke pangkal
jalan selepas terbabas melakukan kesilapan. Allah mengiktiraf mereka sebagai
golongan bertakwa.
Allah
berfirman yang bermaksud:
“Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila mengerjakan
perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan
memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni
dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka
mengetahui.”
Muhasabah
yang dilakukan dengan ikhlas akan melahirkan keinsafan di hati. Keinsafan akan
melahirkan taubat. Taubat yang hakiki dikenali sebagai taubat nasuha. Umar al-Khattab dan Ubai
bin Kaab mentafsirkan taubat nasuha sebagai ‘meninggalkan dosa dan tidak akan
kembali melakukannya sebagai mana susu tidak akan kembali ke payu dara’.
Imam
Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi berhubung seorang lelaki di zaman
dulu yang membunuh 100 lelaki. Beliau akhirnya bertaubat dan sebelum sempat melakukan
sebarang kebaikan, meninggal dunia. Allah menerima taubatnya dan memasukkannya
ke dalam rahmat-Nya.
Pada
zaman Nabi SAW, seorang wanita melakukan zina dan dengan penuh penyesalan
menceritakan perbuatannya itu kepada Nabi SAW. Beliaupun dihukum. Selepas
beliau meninggal dunia, Nabi SAW melaksanakan solat jenazah ke atas mayatnya.
Perbuatan
nabi itu menghairankan Umar Al-Khattab lantas Umar pun bertanya, “Kamu bersolat
ke atas mayatnya sedangkan beliau pernah berzina? Nabi menjawab, “Dia sudah
bertaubat dengan satu taubat yang andai kata diagihkan taubat itu kepada tujuh
puluh orang ahli-ahli maksiat di Madinah (yakni orang-orang munafik), nescaya
ia mencukupi bagi mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Mengikut
satu riwayat oleh Kalbi, “Dua orang sahabat, seorang dari Ansar dan seorang
lagi dari Bani Thaqif, telah dipersaudarakan oleh Nabi SAW. Hubungan antara
mereka berdua cukup mesra dan pada suatu hari sahabat dari Ansar keluar
berperang bersama Nabi SAW. Beliau mengamanahkan sahabat beliau daripada Bani
Thaqif untuk menjaga isterinya ketika beliau tiada.
Semuanya
berjalan dengan baik seperti dirancang. Namun pada suatu hari ketika sahabat
daripada Bani Thaqif menziarahi rumah sahabatnya untuk meninjau keadaan isteri
sahabatnya, beliau ternampak wanita itu dalam keadaan yang terdedah auratnya.
Beliau
terus masuk ke dalam rumah dan secara spontan terus menyentuh muka isteri
sahabatnya serta mencium tangannya. Tiba-tiba beliau berasa malu atas
perbuatannya dan terus melarikan diri ke atas bukit. Di situ beliau menjerit
dan menangis meminta ampun kepada Allah tanpa henti.
Apabila sahabatnya
kembali daripada medan perang isterinya menceritakan apa yang berlaku dan
berita ini kemudian sampai kepada Nabi SAW. Akhirnya Jibrail datang
menyampaikan wahyu daripada Allah, iaitu ayat 135, Surah Ali-Imran yang
disebutkan sebelum ini, “Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila
mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada
Allah swt dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat
mengampuni dosa-dosa selain Allah swt. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji
itu sedang mereka mengetahui.”
Justeru,
Allah swt mengasihi mereka yang berani mengakui kesalahan diri sendiri
dan bertaubat. Ia adalah langkah penting menuju kejayaan dunia dan akhirat.
Dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Qusyairi berkata, “Taubat ialah langkah
permulaan bagi mereka yang ingin berjalan mencari keredaan Allah.”
Penulis ialah pakar motivasi dan
penulis buku, boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan