PERKAHWINAN
adalah satu ikatan suci antara dua insan bergelar suami isteri. Pasangan suami
isteri ini berkemungkinan berasal daripada latar belakang keluarga berbeza
suasana persekitaran, pendidikan serta pendekatan ketika masih kecil hingga
dewasa. Selepas tiba masanya, mereka mengikat janji setia mendirikan mahligai
kehidupan, bersetuju untuk diakad nikah dan mengharapkan mahligai kasih serta
keluarga dibina sentiasa sejahtera dunia akhirat.
Firman
Allah bermaksud:
“Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri
daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya,
dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya
pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum berfikir.”
(Surah
ar-Rum, ayat 21).
Namun,
dalam melayari kehidupan berkeluarga, kesejahteraan diharapkan tidaklah semudah
seperti diidamkan. Perhubungan yang sepatutnya intim mungkin kadang-kala
menjadi dingin, hambar atau tegang. Hal sedemikian boleh berlaku. Justeru,
suami isteri juga insan biasa yang pasti melakukan kesilapan dalam melayari
bahtera kehidupan berkeluarga. Ia perlu ditangani dengan baik kedua-dua pihak,
dengan sifat murni seperti sikap keterbukaan dan berlapang dada.
Suami
isteri perlu sedar hakikat kehidupan berkeluarga sebenar dan berusaha mencari
ilmu serta menimba pengalaman seni hidup berumahtangga lantaran masing-masing
mempunyai harapan, keperluan dan kehendak bersendirian. Ini mencetuskan
perbezaan pandangan dan haluan yang hakikatnya anugerah semula jadi pemberian
Ilahi kepada setiap pasangan.
Perbezaan
juga boleh lengkap-melengkapi, sokong-menyokong dan bantu-membantu dalam
pembentukan mahligai kasih diinginkan. Justeru, setiap pasangan berkewajipan
berusaha menimba ilmu melalui pembacaan, menghadiri kursus mahupun perbincangan
dengan kaunselor kekeluargaan. Ia penting demi keharmonian seluruh ahli
keluarga.
Allah
berfirman bermaksud:
“Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami,
isteri dan keturunan sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam
bagi orang yang bertakwa.”
(Surah
al-Furqan, ayat 74)
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud:
“Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli
(keluarganya) dan aku di kalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan
ahliku.”
(Hadis
riwayat Ibn Majah).
Selepas
berusaha membina mahligai kasih, kita boleh berasa dan melihat hasilnya dengan
mengecap kebahagiaan di dunia berdasarkan kayu ukur Islam yang diungkapkan Ibnu
Abbas.
Suatu
hari Ibnu Abbas ditanya Tabi’in apa yang dimaksudkan kebahagiaan dunia.
Jawab
Ibnu Abbas ada tujuh kayu ukur atau petunjuk kebahagiaan dunia iaitu:
1- Hati
yang selalu bersyukur – Memiliki jiwa yang menerima seadanya tanpa
angan-angan kosong tidak berpijak di alam nyata, tidak ada tekanan. Inilah
nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangat
memahami sifat Allah SWT. Apa saja diberikan Allah kepadanya, ia terasa sungguh
terhutang budi, berterima kasih, terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah
swt. Apabila berhadapan kesulitan, terus mengingati sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud:
“Jika kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah daripada
kita. Apabila diberi kemudahan, ia bersyukur dengan menggandakan amal
ibadahnya, kemudian Allah akan mengujinya dengan kemudahan lebih besar lagi.
Bila ia tetap istiqamah dengan terus bersyukur, maka Allah akan mengujinya lagi
dengan kemudahan yang lebih besar lagi.”
2- Pasangan
hidup yang soleh – Pasangan hidup yang soleh akan menciptakan suasana
rumah dan keluarga harmoni serta aman damai. Berbahagialah menjadi seorang
isteri kepada suami yang salih dan berusaha membawa isteri serta anak mencari
keredhaan Allah swt. Demikian pula seorang isteri yang soleh, akan memiliki
kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani suaminya. Maka berbahagialah
menjadi seorang suami yang memiliki isteri soleh.
3- Anak
yang soleh – Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan
seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW
bertanya kepada pemuda itu: “Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya
Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya
sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu
saya hanya ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya
(dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku
sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW
sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah redha kepadamu, kamu
anak soleh, anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak akan mampu
membalas cinta orang tuamu.”
4-Lingkungan
kondusif untuk iman kita – Yang dimaksudkan lingkungan yang kondusif
ialah suasana keliling dan sahabat rapat memberi nilai tambah terhadap keimanan
kita. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu bergaul dengan orang soleh yang
mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila berbuat salah. Orang
soleh adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan Islam selalu terpancar
pada cahaya wajahnya. Insya-Allah cahaya itu akan ikut menyinari orang di
sekitarnya.
5-Harta
yang halal – Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW
pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan.
“Kamu berdoa sudah bagus,” kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman,
pakaian dan tempat tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan
dikabulkan.”
Berbahagialah
menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah.
Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari hatinya, maka hatinya
semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi ketenangan dalam hidupnya.
6-Semangat
untuk memahami agama – Allah swt menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang
menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin
tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi
cahaya bagi hatinya.
7- Umur
yang berkat – Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin
soleh, setiap detik diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya
untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak
bernostalgia mengenai masa mudanya. Orang yang mengisi umurnya dengan banyak
mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah), maka semakin tua
semakin rindu ia untuk bertemu dengan Penciptanya. Tidak ada rasa takut
meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh harap untuk segera berasakan keindahan
alam kehidupan berikutnya seperti dijanjikan Allah swt.
Prof Madya Pauziah Mohd Arshad ialah Pensyarah
Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM dan AJK Wanita JIM Selangor yang boleh
dihubungi di e-mel: wanitajim0@yahoo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan