Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 27 Disember 2018

T 5 : KAEDAH FIQH DALAM ISLAM : MUDARAT BESAR DI HILANGKAN DENGAN MUDARAT KECIL


Di dalam Islam terdapat beberapa kaedah fiqh yang digunakan oleh para ulama feqah sebagai panduan dan pedoman untuk menetapkan sesuatu hukum:

الضَّرَرُ الأشَدُّ يُزَالُ بِالضَّرَرِ الأخَفِّ

"Kemudaratan yang lebih berat/besar dihilangkan dengan melaksanakan kemudaratan yang lebih ringan."

Huraiannya:
Apabila bertembung dua kemudaratan serentak dalam satu masa maka hendaklah dihilangkan kemudaratan itu dengan melakukan perkara yang membawa kepada mudarat/ kerosakan yang lebih kecil.
Maksudnya apabila kita bertembung dengan situasi ini, maka kena pilih yang mana satu yang jikalau kita buat maka kerosakan yang timbul lebih kecil berbanding kalau kita buat yang satu lagi.

Contoh:
Rumah dimasuki perompak dan perompak mahukan harta, wang dan barang kemas. Ketika itu salah seorang anggota keluarga berada bersama mereka dengan dengan ugutan mahu membunuh ahli keluarga itu jika tidak menyerahkannya.
Maka di sini berlaku pertembungan iaitu:

1. Mudarat= Kehilangan harta dan kerugian yang bakal dialami, anggaran berpuluh ribu ringgit
2. Mudarat= Nyawa ahli keluarga bakal terancam, kemungkinan dibunuh.

Jadi apabila bertembung dua mudarat ini, hendaklah dipilih yang mana yang paling kecil/ sedikit mudaratnya jika kita lakukan. Maka menurut kaedah ini hendaklah kita lakukan mudarat 1 iaitu menyerahkan harta dan mengalami kerugian. Kerana hilang harta mudaratnya lebih kecil dari hilang nyawa.
[Al-Madkhal Ila al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Kuliyyah]

Satu lagi kaedah fiqh yang hampir sama iaitu:

إذَا تَعَارَضَ مَفْسِدَتاَنِ رُوْعِيَ أعْظَمُهُمَا بِإرْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

"Bila harus memilih antara dua mudarat maka pilih yang paling ringan."

Kaedah fiqh di atas adalah satu kaedah yang penting apabila kita berhadapan dengan situasi yang genting dan terpaksa membuat salah satu pilihan di antara dua. Maka ketika ini Islam membenarkan dipilih salah satu yang mudaratnya lebih kecil berbanding yang satu lagi.
Contoh yang jelas apabila berlaku penyeksaan oleh kafir Quraisy (Umayah bin Khalaf) kepada keluarga Amar bin Yasir (bapanya Yasir dan ibunya Sumayyah). Mereka semua diseksa oleh Umayah bin Khalaf. Apabila Umayah menyuruh mereka kembali kepada agama asal mereka menyembah berhala, Yasir dan Sumayyah tetap berpegang teguh sehingga syahid. Tetapi Amar bin Yasir oleh kerana seksaan yang berat diterimanya dia terpaksa mengaku kembali kepada kekufuran (hakikat sebenarnya beliau tetap kukuh imannya hanya lidahnya sahaja yang melafaskan kekufuran), apabila sahabat yang lain memberitahu Nabi SAW bahawa Amar telah murtad lantas dijawab oleh baginda bahawa iman Amar tetap kukuh dan beliau ucapkan perkataan tersebut adalah kerana terpaksa (darurat).
Dalam sirah tersebut kita boleh mengambil pengajaran bahawa mengucap kalimah kufur (kerana terpaksa) tetapi hati tetap beriman adalah mudarat kecil sedangkan nyawa melayang adalah mudarat besar.

Allah SWT berfirman maksudnya:

"..tetapi jika seseorang terpaksa, sedangkan ia tidak menginginkannya, dan tidak pula melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya... "
(Surah al-Baqarah ayat 173).

Dalam kehidupan harian kita sering akan bertembung dengan dua situasi yang mana kedua-duanya adalah boleh mendatangkan mudarat maka Islam membenarkan kita pilih mudarat yang lebih kecil berbanding mudarat yang besar. Atau pun kita berhadapan dengan situasi jika kita buat mendatangkan mudarat kecil sedangkan jika kita tinggalkan akan mendatangkan mudarat yang lebih besar.

Contoh organisasi Islam terlibat dengan pilihanraya demokrasi adalah mudarat yang kecil (terpaksa berkempen dan bertembung dengan umat Islam yang berlainan parti - wujud sedikit pergeseran dan perbalahan) sedangkan meninggalkan / memboikot pilihanraya adalah mudarat yang besar kerana membiarkan negara dikuasai oleh golongan sekular yang akan menyalahgunakan harta negara dan menzalimi rakyat.
Umat Islam perlu cerdik dan tidak mudah diperdaya dalam membuat pilihan dalam pengundian pilihraya. Pemilihan kalian untuk memilih pemimpin adalah penting untuk menentukan arah mana negara dan rakyat akan dibawa, samada menuju ke arah kerosakkan yang lebih parah atau kepada cahaya baru yang lebih cerah dan terang benderang!
Perlulah kalian pentingkan agenda Islam untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam mencorak pembangunan umat dan menegakkan syiar-syiar Islam daripada terus malap di bawah pimpinan lama. Pimpinan baru perlu lebih jelas menegakkan amar makruf nahi mungkar kerana ini adalah tugas kita dijadikan oleh Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi. Semua amalan kita akan dihisab dengan teliti oleh Allah SWT jika kalian abaikan tugas yang besar ini. Islam akan dipandang baik oleh orang bukan Islam apabila kita tidak bersikap perkauman dan tidak menghina agama lain atau bangsa lain. Besama-sama menegakkan keadilan dan menentang rasuah dan mengelakkan hak rakyat dirampas oleh mereka yang rakus dengan harta dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan