Kehidupan ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi
pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya.
Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan
tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada
dirinya semata-mata.
Hidup ini
suatu lapangan, tempat di mana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin
menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya. Hidup ini suatu peluang, tempoh
untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredaan
kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.
Manusia
yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya,
secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan
kehidupan itu sendiri. Ini kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu
diri, kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa
menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai
hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA yang
Maha Pencinta.
Seseorang
yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak
menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan
kehidupan ini,
sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara
ini. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat. Apa yang didapatinya juga tidak
akan kekal bersamanya setelah dia mati. Di mana nilai sebuah kehidupan bagi
manusia yang semacam ini?
Bagi
seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya,
pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna. Kebendaan
dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan
jiwanya. Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri
kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dengan
menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.
Bertolak
daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh
kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan
hukum-hakamNya, merupakan penzahiran “interaksi” Tuhannya kepadanya. Seseorang
hamba yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam segenap
tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah
(interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.
Bermula
dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam kehidupannya, maka
penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba mula
bersinar dalam hatinya. Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan
pandangan zauqi (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati bahawasanya,
syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan dan
mentadbirnya dan seluruh alam ini.
Bertolak
daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada
Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhuk,
istiqomah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat
ketentuan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dalam
segenap kehidupannya.
Apabila
dia ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah
peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan
melahirkan sifat “sabar” terhadap ketentuanNya yang menimpanya tersebut. Dia
juga menzahirkan rasa lemah di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan mengembalikan
ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA yang
mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka semata-mata untuk menagih
keredhaan dan bantuanNya.
Seseorang
hamba yang mengadu masalahnya kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam rangka untuk menzahirkan
kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA akan
masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.
Adapun
seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam rangka untuk menzahirkan
kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan hakikat diri
yang “lemah” dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam menghadapi ketetapanNya,
sedangkan orang yang merungut di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA mengenai ketentuanNya ke atasnya
bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketentuanNya yang
tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu dirinya.
Mengadu
dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak mengandungi unsur
mempertikaikan ketentuan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA, tetapi
sekadar memohon rahmat dan bantuan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA agar dia mampu menghadapi
ketentuanNya dengan bantuanNya. Adapun orang yang merungut kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA membawa maksud
mempertikaikan ketentuan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dan
terkadang boleh membawa kepada menyalahkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, seolah-olah dia lebih pandai
dari ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA. Berbeza
antara menzahirkan rasa lemah dengan menzahirkan kepandaian diri di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA.
Oleh
kerana itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli yang menghayati makna kehambaan ini
mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan berdoa (dalam hizb
al-kabir):
“Wahai
Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke
atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku
dalam setiap ketentuanMu ke atasku.”
Nilai
kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Saidina RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI
WASSALLAM dalam
doa Baginda ketika di Thaif dengan berdoa:
“Wahai Tuhanku, aku mengadu
kepadaMu akan lemahnya diriku…“.
Nilai-nilai
mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri
dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam
diri seseorang hamba kepada Tuhannya.
Oleh yang
demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan
rasa memerlukannya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri
kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.
Adapun
takkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada
kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan
menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang
didapatinya kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA, bukan
menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha dirinya sendiri.
Inilah
nilai kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa
berasa menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa
semua kebaikan adalah daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, Tuhan yang Maha Pemurah.
Dengan
rasa syukur tersebut, maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menganugerahkan makrifatuLlah (mengenal
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA)
kepadanya, dan menganungerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia muamalah ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA dalam
segenap kehidupannya. Inilah kelebihan daripada sifat syukur yang dijanjikan
oleh ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang
berfirman dengan maksud:
“Jika kamu bersyukur, Aku akan
tambah buatmu akan nikmat“…
Penambahan
nikmat yang agung adalah, kefahaman tentang hakikat diri, hakikat kehidupan dan
hakikat ketuhanan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dalam
kehidupannya seharian.
Hidup ini
ialah tempat bemualamah secara beradab. Bagaimana seseorang ingin beradab dalam
bermuamalah dengan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA melalui
kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal hakikat dirinya sebagai hamba ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA yang
perlu beradab kepadaNya, tidak mengenali hakikat kehidupan yang merupakan
tempat menzahirkan adab kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam berinteraksi kepadaNya dan tidak mengenali ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA, Tuhan
yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya?
Dalam
hidup ini terkandung risalah-risalah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam segenap detik dalam
kehidupan kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya
dengan adab kehambaan kepadaNya. Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama
bagi kerohanian seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya. Setelah seseorang
mencapai istiqomah dalam sabar dan syukur dalam segenap kehidpannya terhadap
setiap ketentuanNya dengan bantuan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, maka dia akan dianugerahkan
rasa redha kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dalam
setiap ketentuanNya.
Pada
darjat “redha” inilah, seseorang manusia tidak lagi merasai beza antara
ketentuan dengan ketentuan, tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya
sentiasa fokus kepada mencari keredhaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA di sebalik setiap ketentuanNya,
dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA.
Sesungguhnya, redha kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ini merupakan darjat yang teragung yang dicapai
oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan meredhai ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA
melainkan setelahmana ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA
meredhainya dan berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.
Kehidupan
ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya.
Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap makna kehambaan
dirinya dalam kehidupannya, makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya dan
makna ketuhanan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dalam
kehidupannya selaku hambaNya. Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti
bagi seseorang manusia. Hidup tanpa “makna”, yang tinggal hanyalah “makan”.
Makan, minum, tidur dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya
yang semakin menuju kesudahan. Akhirnya, dia di sisi ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA bagaikan
binatang, bahkan lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak
menghargai nilai kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna
yang mulia.
Masalah
kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah
kerana gagal menanggung ketentuan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, tetapi masalah-masalah tersebut
kembali kepada “tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya” lalu membawa
kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang
sepatutnya. Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang
merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan ALLAH SUBHANAHU WA
TAALAdalam
kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu
kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dan menderita dalam rangka untuk
mencari kebahagiaan menurut persepsinya.
Kebahagiaan
bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA.
Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda s.a.w.
yang mulia. Hidup ini bukan tempat setiap orang cari apa yang dia mahukan,
tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya
diciptakan. Kalau mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang
diingini oleh Tuhan, maka setiap langkahmu dalam mencarinya adalah suatu
penderitaan. Akhirnya, yang kamu himpunkan hanyalah penderitaan demi
penderitaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan