KEKUATAN SEMANGAT (AZAM, CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA MEMECAHKAN BENTENG TAKDIR.
Kalam Hikmat yang
pertama menyentuh tentang hakikat amal yang membawa kepada pengertian tentang
amal zahir dan amal batin. Ia mengajak kita memerhatikan amal batin (suasana
hati) berhubung dengan amal zahir yang kita lakukan. Sebagai manusia biasa hati
kita cenderung untuk menaruh harapan dan meletakkan pergantungan kepada
keberkesanan amal zahir. Hikmat kedua memperjelaskan mengenainya dengan membuka
pandangan kita kepada suasana asbab dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi
kerana seseorang itu melihat kepada keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat.
Apabila terlepas daripada waham sebab musabab baharulah seseorang itu masuk
kepada suasana tajrid.
Dua Hikmat yang lalu
telah memberi pendidikan yang halus kepada jiwa. Seseorang itu mendapat
kefahaman bahawa bersandar kepada amal bukanlah jalannya. Pengertian yang
demikian melahirkan kecenderungan untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah
s.w.t. Sikap menyerah tanpa persediaan kerohanian boleh menggoncangkan iman.
Agar orang yang sedang meninggi semangatnya tidak terkeliru memilih jalan, dia
diberi pengertian mengenai kedudukan asbab dan tajrid. Pemahaman tentang
makam asbab dan tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar menyerah kepada
Allah s.w.t dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah dengan cara yang
melulu.
Hikmat ketiga ini pula
mengajak kita merenung kepada kekuatan benteng takdir yang memagar segala
sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli tajrid, kita dapati ahli tajrid
melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan keberkesanan kepada sesuatu
sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini bermakna semua kejadian dan
segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di dalam pentadbiran Allah s.w.t.
Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap makhluk-Nya. Urusan ketuhanan
yang menguasai, mengatur dan mengurus atau suasana pentadbiran Allah s.w.t itu
dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak dikuasai, diatur dan diurus oleh
Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang tidak termasuk di dalam takdir.
Manusia terhijab
daripada memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab. Kedirian seseorang
menjadi alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab pandangan hati
daripada melihat kepada takdir. Keinginan, cita-cita, angan-angan, semangat,
akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada melihat kepada kekuasaan, aturan
dan urusan Tuhan. Hijab kedirian itu jika disimpulkan ia boleh dilihat sebagai
hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang melahirkan keinginan, cita-cita,
angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera nafsu, menimbang, merancang dan
mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu
inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak kepada kebaikan itu. Jika nafsu
inginkan sesuatu yang buruk, akal itu juga yang bergerak kepada keburukan.
Dalam banyak perkara akal tunduk kepada arahan nafsu, bukan menjadi penasihat
nafsu. Oleh sebab itulah di dalam menundukkan nafsu tidak boleh meminta
pertolongan akal.
Dalam proses memperolehi
penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t terlebih dahulu akal dan nafsu
perlu ditundukkan kepada kekuatan takdir. Akal mesti mengakui kelemahannya di
dalam membuka simpulan takdir. Nafsu mesti menerima hakikat kelemahan akal
dalam perkara tersebut dan ikut tunduk bersama-samanya. Bila nafsu dan akal
sudah tunduk baharulah hati boleh beriman dengan sebenarnya kepada takdir.
Beriman kepada takdir
seharusnya melahirkan penyerahan secara berpengetahuan bukan menyerah kepada
kejahilan. Orang yang jahil tentang hukum dan perjalanan takdir tidak dapat
berserah diri dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t kerana di sebalik
kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan akal untuk menimbulkan keraguan
terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan hakikat takdir itu
masih terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia masih melihat bahawa
makhluk boleh mendatangkan kesan kepada kehidupannya. Tindakan orang lain dan
kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang demikian menyebabkan
dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri kepada Tuhan. Sekiranya dia
memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan dalam perkara takdir tentu dia dapat
bertahan dengan iman. Hadis menceritakan tentang takdir:
Seorang lelaki
bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, apakah iman?” Jawab
Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya,
Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga engkau beriman dengan
Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah dari Allah s.w.t”. {
Maksud Hadis }
Pandangan kita sering
keliru dalam memandang kepada takdir yang berlaku. Kita dikelirukan oleh
istilah-istilah yang biasa kita dengar Kita cenderung untuk merasakan
seolah-olah Allah s.w.t hanya menentukan yang asas sahaja sementara yang
halus-halus ditentukan-Nya kemudian iaitu seolah-olah Dia Melihat dan
Mengkaji perkara yang berbangkit baharulah Dia membuat keputusan. Kita
merasakan apabila kita berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah
perkara dasar yang telah Allah s.w.t tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita
itu dan bersimpati dengan kita lalu Dia pun membuat ketentuan baharu supaya
terlaksana takdir baharu yang sesuai dengan perjuangan kita. Kita merasakan
kehendak dan tadbir kita berada di hadapan sementara Kehendak dan Tadbir Allah
s.w.t mengikut di belakang. Anggapan dan perasaan yang demikian boleh membawa
kepada kesesatan dan kederhakaan yang besar kerana kita meletakkan diri
kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada taraf hamba yang
menurut telunjuk kita. Bagi menjauhkan diri daripada kesesatan dan kederhakaan
yang besar itu kita perlu sangat memahami soal sunnatullah atau ketentuan Allah
s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut ketentuan dan pentadbiran Allah s.w.t.
Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Ilmu Allah s.w.t meliputi yang awal
dan yang akhir, yang azali dan yang abadi. Apa yang dizahirkan dan apa yang
terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala
bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu,
melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami
menjadikannya; sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
(Ayat 22 : Surah al-Hadiid)
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan)
Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;
( Ayat 1 : Surah al-Mulk )
Dan Yang telah mengatur (keadaan
makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan
keselamatannya dan kesempurnaannya);
( Ayat 3 : Surah al-A’laa)
Dan Kami jadikan bumi memancarkan
mataair-mataair (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk
(melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan.
( Ayat 12 : Surah al-Qamar )
Segala perkara, tidak
kira apa istilah yang digunakan, adalah termasuk dalam ketentuan Allah
s.w.t. Apa yang kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar, doa, kekeramatan,
mukjizat dan lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t. Pagar takdir
mengelilingi segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang mampu
menembusi benteng takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan ikhtiar
melainkan perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir. Tidak
berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir untuknya
yang sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang didoakan juga
tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku kekeramatan
dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir yang tidak
menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu nafas atau
berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan urusan Allah
s.w.t pada azali.
Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami
kembali.
Segala perkara
datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan ketentuan tanpa
campurtangan sesiapapun. Segala perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah yang
mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapapun mampu menyekat
urusan-Nya.
Apabila sudah difahami
bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir yang
menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi berasa bingung
sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan berserah diri
sama-sama berada di dalam pagar takdir. Jika seseorang menyedari makamnya sama
ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya.
Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa
juga hasil yang muncul dari usahanya diterimanya dengan senang hati kerana dia
tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh Allah s.w.t.
Jika hasilnya
baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari
Allah s.w.t. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia
mendapat kebaikan. Jika hasil yang buruk pula sampai kepadanya dia akan
bersabar kerana dia tahu apa yang datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan
Allah bukan tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya. Walaupun hasil yang tidak
sesuai dengan seleranya datang kepadanya tetapi usaha baik yang dilakukannya
tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah s.w.t sekiranya dia bersabar dan
rela dengan apa juga takdir yang sampai kepadanya itu.
Ahli tajrid pula
hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan jaminan Allah
s.w.t. Dia tidak harus merungut jika terjadi kekurangan pada rezekinya atau
kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir yang sesuai dengan apa
yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya adalah juga ketentuan
Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka ia juga masih lagi di
dalam pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Begitu juga jika terjadi
keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus melihat itu sebagai takdir
yang menjadi bahagiannya.
Persoalan takdir
berkait rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan daripada yang
banyak kepada yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang. Setelah ditanam
benih yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan beberapa banyak
buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk menumbuhkan
pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang yang bermula
dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang sejuta tidak ada
bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama itu bukan sahaja
berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah ia mampu mengeluarkan
semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya boleh mengeluarkan kacang,
tidak benda lain.
Kajian akal boleh
memperakui bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat kacang. Zat
kacang pada benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta malah
ia adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah ‘bergerak’
pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang, tidak menjadi
benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal pertumbuhan
kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana kacang. Ia
tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah dengan
mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat kacang ini
dinamakan “Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang mentadbir dan
mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga kesudahan, sampai ke
hari kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran Allah s.w.t yang Dia
telah tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja yang dikuasai oleh
Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.
Suasana pentadbiran
Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan manusia pula
dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t telah menciptakan
manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada pada
sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan untuk
melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan tetap
melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat Manusia.
Pada Hakikat Manusia
itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya dengan
segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat
Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Wali”
pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau hakikat itu
menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan segala maklumat
yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah menjalankan urusan
Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t.
Dan katakan: “ Roh
itu dari perkara urusan Tuhanku”.
( Ayat 85 : Surah Al-Israa’ )
Pentadbiran Allah
s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya yang
berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak azali
lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala sesuatu dikawal
oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh meminta menjadi
kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta
menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan