Black
Metal adalah satu gejala yang sedang merebak dalam masyarakat Malaysia,
khususnya di kalangan remaja di beberapa buah negeri di sebelah Utara
Semenanjung Malaysia. Gejala ini ada kaitan dengan pengaruh internet, filem,
muzik dan sebagainya merupakan anasir-anasir yang memberi makanan jiwa dan
menusuk masuk ke dalam hati nurani mereka sehingga dapat dihayati dengan
sepenuhnya.
Hal ini
menjadi lebih hebat lagi dengan gejala lain yang menyertai muzik dan tarian
tersebut iaitu pemujaan syaitan, penolakan agama, memenuhi segala pemikiran dan
fantasi dengan segala unsur negatif dan pasif, mati kubur, mayat dan sebagainya
yang menjadi amalan iblis dan syaitan. Hal ini lebih berjaya mengisi
kekosongan jiwa dan idealisme anak-anak muda dan memberi mereka kepuasan dan
hiburan lebih daripada pengaruh nilai murni dan agama serta moral yang dalam
konteks para remaja, juga golongan pelajar tidak dapat memenuhi keperluan
mereka.
Boleh
jadi kita bertanya dengan kehairanan, kenapa pengajaran agama dan moral
sepatutnya dapat mengisi mental dan hati nurani para pelajar, juga remaja
tiba-tiba mengalami kegagalan dan kelesuan. Perkara ini mestilah
memerlukan perhatian serius, di mana para pengkaji dan juga para guru, ibubapa,
masyarakat dan juga semua pemimpin di semua peringkat mungkin dapat menoleh ke
belakang melihat di manakah silapnya sehingga nilai murni dan didikan Islam
yang yang dibawa melalui kurikulum al-Quran tidak dapat dihayati serta
dihadamkan oleh jiwa anak-anak remaja Islam yang berbangsa Melayu yang dikenali
sebagai keturun Islam sejak turun-temurun. Hal mestilah setiap dari kita
mesti merasa terpanggil dalam menangani gejala Black Metal yang sememangnya
boleh mengancam akidah umat Islam khususnya di kalangan anak-anak muda Islam di
negara kita Malaysia.
Menurut
satu risalah yang disebarkan, kumpulan Black Metal ini mewajibkan
setiap dari pengikutnya melupakan rukun Islam yang lima perkara, iaitu mengucap
Dua Kalimah Syahadah, mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan,
membayar zakat dan menunaikan haji bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan. Sebaliknya
mereka mestilah berpegang kepada lima rukun baru yang mengatakan menyembah
Allah itu adalah karut marut. Empat lagi rukun kumpulan itu yang menggelarkan
diri mereka “We Are Satan” (Kamilah Setan) ialah jangan sembahyang, kitab
al-Quran itu karut, membakar naskhah-naskhah al-Quran dan membakar atau memijak
kain atau pakaian sembahyang.
Selain
mengandungi lima rukun yang menghina Islam itu, risalah berkenaan turut
mengandungi peraturan mengangkat sumpah untuk menganggotai kumpulan
tersebut. Antara peraturan yang dinyatakan ialah sebelum menjadi
pengikut, seseorang itu harus melafazkan “Kami menyeru dengan nama Iblis bahawa
kami sudah pun murtad’. Mereka kemudian harus menyebut lima rukun
kumpulan itu (sebagaimana di atas). Bahagian hadapan risalah itu pula
memaparkan lukisan seorang lelaki berambut panjang dalam keadaan bogel dan di
atasnya tertera tulisan “Black Metal”. Pada muka surat kedua pula
terdapat bintang berbucu lima dengan di dalamnya dilukiskan lambang
salib. Di setiap bucu bintang itu terdapat tulisan dipercayai lambang
tertentu dalam masyarakat Yahudi.
Pada muka
surat ketiga pula terdapat lima rukun kumpulan itu manakala mukasurat keempat
ayat sebelum upacara dan senarai nama ahli kumpulan itu. Pada muka surat
terakhir pula terdapat tulisan dalam bentuk mengerikan tertera ‘ As the sky
turns black’ (apa bila langit berubah menjadi hitam) dengan lukisan berbucu
lima.
Cabang
Lain Dalam Aliran Metal
Black
Metal juga adalah cabang muzik Metal yang paling tinggi, keras dan ganas dalam
muzik underground (liar). Rentak muzik keras, sebutan sukar difahami dan
lirik berbagai pemujaan pelbagai nama syaitan, anti ketuhanan dan keagamaan,
bunuh diri seks bebas, dianjurkan dalam lagu Black Metal yang disebarkan ke
seluruh dunia termasuk Malaysia. Tidak cukup dengan muzik, pemuzik dan
pengikutnya dikehendaki mengisytiharkan diri murtad, melakukan ritual memuja
syaitan, membakar kitab suci al-Quran dan memberontak terhadap sistem
kemanusiaan dan perundangan.
Cabang
lain dalam aliran Metal adalah Death Metal iaitu rentak muzik yang tidak jauh
bezanya daripada Black Metal, tetapi memfokuskan tema kehidupan seperti kecewa,
putus asa, pemberontakan, kematian dan alam kubur. Biasanya lirik Death Metal
menceritakan sesuatu topik dengan penuh perasaan, dalam bentuk penceritaan yang
mendalam. Doom Metal pula menampilkan lirik berbentuk melankolik untuk
melafazkan kekecewaan dalam hidup seperti putus cinta dan pilih kasih.
Dark Metal pula banyak mengisahkan alam ghaib (mirip Death Metal) seperti ilmu
sihir, mitos, kepercayaan tertentu dan mistik.
Grindcore
Metal adalah lagu metal untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan menentang
sistem pentadbiran dan dasar setempat atau keadaan alam dan persekitaran.
Liriknya terus terang menyuarakan tentangan terhadap penyelewengan politik, dan
kerosakan alam persekitaran. Tema bagi Industrial Metal mirip kepada
Grindcire Metal, tetapi menggunakan kesan bunyi khas kepada lagu seperti latar
belakang bunyi kilang atau mesin tertentu.
Cabang
lain dalam aliran Metal ialah Thrash, Speed dan Heavy Metal yang mengungkap
pelbagai tema lebih meluas. Heavy Metal di Malaysia dikatakan bermula sejak
tahun 80-an dan sudah diterima dan sudah diterima masyarakat setempat atau
diistilahkan pengikut underground sebagai sudah memasuki ‘main stream’ (aliran
utama). Manakala Thrash Speed dan Metal yang berbentuk laju dan kuat dengan
penggunaan dram dan kesan bunyi gitar, masih dikelaskan sebagai muzik
underground.
Perspektif
Islam Berkenaan Isu Ini
Isu Black
Metal menjadi suatu perbincangan hangat masyarakat dewasa ini. Ia
sebenarnya bukanlah perkara baru sekiranya kita memahami teras budaya hedonisme
yang lama berkembang subur dalam masyarakat Barat. Hedonisme
adalah budaya yang lahir daripada asas sekularisme yang menolak dominasi
fahaman agama dalam kehidupan manusia. Hedonisme yang berasal dari
istilah Greek, Hedone, bermaksud pleasure ( keseronokan / kelazatan ) atau
happiness (kegembiraan ) ialah kebaikan.
Menurut
Dr. Yusof al-Qardawi, walaupun golongan Hippies yang pada awalnya muncul
sebagai kumpulan anti-sosial kerana bosan dengan kebuntuan peribadi, akibat
gangguan pemodenan dan pembangunan, mereka telah sesat dalam gejala-gejala
tidak bermoral seperti arak, seks bebas, dadah dan lain-lain sehingga ke
peringkat menolak agama. Dalam mencari erti dan hakikat individu, mereka
menganggap agama adalah penghalang kepada kepuasan hidup yang
seharusnya berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Kawalan norma dan
undang-undang agama ditentang dengan berbagai-bagai cara oleh mereka yang
menganggap hawa nafsu sebagai tuhan sembahan mereka.
Tradisi
gila yang diamalkan oleh golongan ini akhirnya menemukan khayalan-khayalan yang
menjurus kepada pemujaan syaitan. Inilah perkara yang cuba diulangi oleh
sebahagian remaja Muslim yang sudah kehilangan arah dalam masyarakat kini.
Al-Quran
secara umumnya mengaitkan hedonisme dengan kehidupan yang mementingkan
keduniaan dan hawa nafsu sehingga lupa kepada perintah Allah. Mereka
lazimnya keras hati, sombong, melakukan maksiat, zalim dan kuat
berangan-angan. Perilaku seperti ini mencapai kemuncaknya apabila mereka
berdepan dengan persoalan akidah dan kepercayaan. Allah telah
mengingatkan bahawa terdapat kecenderungan manusia menjadikan hawa nafsu dan
keseronokan sebagai sembahan, di mana Al-Quran bertanya, yang bermaksud: “Tidakkah
kamu melihat mereka yang mengambil nyawa hawa nafsu sebagai Tuhan mereka?”
Sindiran
ini sekaligus memperingatkan umat manusia bahawa hawa nafsu yang diperkudakan
oleh syaitan beroperasi besar dalam menggantikan peranan Tuhan dalam kehidupan
mereka. Islam tidak menafikan secara mutlak kewujudan hawa nafsu sebagai
sifat semulajadi manusia bahkan ia memperakui sebagai unsur kejadian manusia
yang unik. Kejadian hawa nafsu yang dipertimbangkan oleh wahyu dan akal
menjadikan manusia mempunyai kedudukan dan peranan yang berbeza dengan sifat
syaitan dan malaikat yang hanya mempunyai dua pola yng bertentangan iaitu buruk
dan baik.
Justeru
bagi menjamin kemenangan kebaikan ke atas kejahatan, Islam menganjurkan
pengawalan dan alternatif terhadap aktiviti hawa nafsu. Pengawalan Islam
terhadap gejala negatif ini amat dititikberatkan sehingga Nabi sejak remaja
lagi telah dikawal oleh Allah daripada menghampiri pesta kaum Quraisy yang
diadakan di Kota Mekah. Baginda diriwayatkan tertidur dengan nyenyak sebelum
berupaya pergi ke pesta tersebut.
Islam
tidak hanya mengharamkan sesuatu maksiat tertentu sahaja bahkan turut menutup
arah dan punca ke arah berlakunya kemungkaran berkenaan. Sebagai contoh,
Al-Quran secara jelas menegah daripada menghampiri zina kerana menyedari
perkara itu pasti berlaku sekiranya ruang-ruang ke arahnya dibuka dengan luas.
Sesuai
dengan Islam yang bersifat meraikan fitrah manusia, agama ini memberikan
kelonggaran ke atas beberapa hiburan yang dapat memberikan manfaaat kepada
manusia dalam menjalankan kehidupannya dengan sempurna. Sebagai contoh,
lagu-lagu memuja Ilahi, keindahan alam dan meniupkan semangat untuk maju dan
berjaya dalam kehidupan dan perjuangan amat digalakkan. Promosi terhadap
unsur-unsur hiburan yang murni inilah yang seharusnya menjadi arus perdana
dalam masyarakat; bukannya hiburan yang menyelewengkan pemujaan hawa nafsu dan
keuntungan material semata-mata.
Persoalannya,
memadaikah pengawalan daripada satu pihak sahaja sedangkan pihak-pihak lain
mnyepikan diri malah ada yang menyokong ruang-ruang ke arah kepesatan budaya
hedonisme ini?
Hanya
peribadi besar dan dokongan secara kolektif sahaja yang mampu menunjukkan
keunggulan pendakwah dalam melaksanakan tugas amal makruf dan nahi mungkar yang
menjadi prasyarat kepada kejayaan sebuah umat yang terbaik. Masyarakat
amat berharap supaya sesuatu dapat dilakukan dalam membenteras fahaman
hedonisme yang kini kembali semula ke puncaknya.
Rumusan,
walau apa pun keadaan gejala yang dihadapi oleh ummat Islam ini, maka mereka
semua mestilah merasa terpanggil dalam memberi sumbangan untuk mengembalikan
semula golongan individu yang terlibat, terjerumus ke lembah yang membawa
kepada tekeluar dari akidah Islam ini khususnya dari kalangan golongan remaja
Islam yang berbangsa Melayu, kerana persoalan ini adalah persoalan agama Islam
dan bangsa Melayu.
Di antara
langkah-langkah yang perlu diambil dalam membendung gejala ini ialah:
i- Para
ibu bapa mestilah mengambil berat tentang aktiviti harian juga pergaulan
anak-anaka mereka. Di samping itu para ibu bapa juga mestilah menunjukkan
suri tauladan yang terbaik untuk anak-anak mereka dengan mempamerkan iltizam
yang tinggi terhadap nilai hidup Islam, seperti melakukan ibadah, juga amal
soleh seperti istiqamah dalam melaksanakan solat lima waktu, berpuasa bulan
Ramadhan serta melakukan amalan-amalan murni lain. Perkara ini penting
kerana ibu bapa merupakan pendidik pertama kepada anak-anak. Dalam satu hadis
Rasulullah s. a. w. bersabda:
مَا مِنْ مَوْلُوْدٍ اِﻻَّ يُوْ لَدُ عَليٰ الْفِطْرَةِ فَاَبَوَا هُ
يُهَوِّدَانِهِ اَوْ يُنَصِّرَانِهِ اَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Ertinya:
Ertinya:
Bagi
setiap individu pula, mereka mestilah amanah terhadap diri sendiri, iaitu
dengan menunaikan segala amanah dan tanggungjawab terhadap diri seperti
melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berbentuk keduniaan dan juga
ilmu-ilmu keagamaan yang dapat menjadi benteng dari terjerumus kelembah yang
tidak sihat yang dibenci Allah Ta’ala. Amanah terhadap diri sendiri juga
termasuklah memilih kawan-kawan yang baik yang boleh membantu seseorang itu
mencapai kebaikan dan kejayaan. Kerana kawan merupakan orang yang akan
mempengaruhi temannya sama ada ke arah perkara baik atau tidak baik.
ii-
Seterusnya semua lapisan masyarakat Islam juga mestilah memainkan peranan
masing-masing dalam menangani gejala yang boleh mengancam akidah umat
Islam.Bermula dari keluarga, masyarakat kempung penguasa daerah dan negeri,
lebih-lebih lagi penguasa agama juga kerajaan mestilah menangani masalah ini
dengan serius termasuklah dengan menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang
telah sedia ada atau menggubal undang-undang baru demi menjamin anak-anak muda
dan remaja Islam di negara ini dari terus hanyut dengan dakyah-dakyah Yahudi
dan Kristian yang membawa kepada terkeluarnya dari agama Islam ( murtad).
Mudah-mudahan di antara kita umat Islam ini salang memperingati antara
satu sama lain, Insya Allah syiar Islam terus maju berkembang di muka bumi
Allah ini, juga akidah Islam pula sentiasa bertapak kukuh dihati setiap
penganutnya. Firman Allah s. w. t. di dalam al-Quran:
“Tidak dilahirkan seseorang anak itu kecuali dalam keadaan putih bersih
( tidak berdosa). Maka kedua ibu bapanyalah yang akan mencorak anak itu sama
ada dengan agama Yahudi, Nasara (Kristian) atau Majusi”.
.وَالْعَصْرِ اِنَّ اْلاِِنْسَانَ لَفِيْ خُسْرٍ. اِلا َّالَّذِيْنَ
اۤمَنُوْا وَعَمِلوالصَّالِحَاتِ
.وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
.وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya:
“Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan kerugian,
kecuali hanya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan orang-orang yang
sentiasa berpesan-pesan dengan perkara kebenaran dan kesabaran.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan