1) Sifat
reda adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.
2) Pengertian
redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah
s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qadak atau sesuatu ketentuan
daripada Allah s.w.t.
3) Redha
terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
· Redha
menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada
manusia.
· Redha
menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.
Redha
Menerima hukum Allah s.w.t. :
Redha
menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada
kesempurnaan iman, kemuliaan takwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima
peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa
terpaksa atau dipaksa.
Merasa
tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang
menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari
mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni
serta tulus ikhlas kepadaNya.
Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh– sungguh.”
( Surah
An-Nisaa’ : Ayat 65 )
Dan
firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ‘Cukuplah Allah bagi kami, Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya, Sesungguhnya pada Allah kami menuju.”
( Surah At Taubah : Ayat 59 )
Pada
dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang
Sunnah, hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan
larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada.
Itulah
sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat
dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima
hukum-hukum Allah s.w.t.
Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang dibenci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. ‘Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ‘,Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka.”
( Surah
Muhammad : Ayat 26 )
Andaikata
mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan solat maka ibadah itu mereka
melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran
perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum
Allah s.w.t. yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman
dan yang tidak redha itu adalah gejala nifak.
Redha
Dengan Qadak :
Redha
dengan qadak iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah
s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Di dalam
hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah
mereka yang suka memuji Allah s.w.t. iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid )
baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.
Diberitakan
Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
“Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah
kebaikan”.
Dan
apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan, Baginda mengucapkan :
“Segala puji bagi Allah atas segala perkara”.
Perintah
redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan di dalam hadis
Baginda yang lain yang bermaksud :
“Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika
aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan
hendaklah kamu katakan : Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka, ia
perbuat ! ” Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata… itu memberi peluang
pada syaitan”.
(Riwayat
Muslim)
Sikap redha
dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat
kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua
pengertian:
Pertama : Bertitik tolak dari
pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu
sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah
Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.
Kedua : Bersandar kepada pengertian
bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik, dibandingkan
dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.
Sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Demi Allah yang jiwaku ditangannya! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya, dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.”
( Riwayat
Muslim )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan