Remaja bertindik selain anggota
telinga, bertatu bertentangan dengan tatasusila Muslim
HUKUM asal bagi perhiasan sama ada
yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan
dibenarkan. Ini berdasarkan dalil yang menyatakan tentang nikmat kurniaan Allah swt kepada hambaNya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dialah (Allah)
yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi kesemuanya.”
(Surah 2, al Baqarah , ayat 29)
Salah satu contoh perhiasan yang
diamalkan ialah menindik anggota badan dengan meletakkan barang perhiasan, sama
ada berbentuk emas, perak dan berlian. Amalan bertindik menjadi kecenderungan
remaja masa kini.
Kebiasaan masyarakat Melayu di
Malaysia sejak dulu mengenali amalan bertindik hanya terbatas di bahagian
telinga. Namun, masa merubah segala dengan perkembangan teknologi dan pengaruh
budaya luar membuatkan semakin ramai bertindik di bahagian selain telinga,
seperti di pusat, lidah, bibir dan kening. Malah ia sudah mula melarat kepada
golongan lelaki.
Sebenarnya perbuatan bertindik
adalah amalan yang sudah dikenali pada zaman Rasulullah SAW.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari
daripada Ibn Abbas katanya:
“Pada suatu
hari raya, selepas Baginda Nabi SAW solat dan berkhutbah, Baginda menuju ke
kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada golongan wanita. Sambil
Baginda SAW menyeru supaya mereka semua bersedekah. Ibn Abbas mengatakan
bahawa: Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga mereka dan leher
mereka. Lalu menyerahkan (barang perhiasan mereka) kepada Bilal.”
Dalam hadis berkenaan, isyarat yang
diberikan wanita (sahabiyyah) berkenaan adalah anting-anting. Ia perhiasan
diketahui umum sejak dari zaman awal Islam dan perhiasan ini khusus kepada
golongan wanita.
Disebabkan itulah golongan lelaki
dilarang daripada menindik telinga mereka kerana ia dengan jelas menyalahi
kebiasaan perhiasan bagi lelaki. Lelaki yang menyerupai wanita dengan
mengenakan perhiasan wanita adalah suatu yang dilarang dalam Islam.
Itu permasalahan menindik telinga.
Bagaimana pula mereka yang menindik di kawasan selain telinga? Perbuatan
menindik selain dari kawasan telinga tidak pernah didengari pada zaman Nabi dan
salafussoleh. Namun ia bukanlah jawapan yang menunjukkan keharusan amalan ini.
Walaupun tidak dibincangkan secara
khusus dalam nas jelas, namun perkembangan fiqh Islam tetap berkembang dalam
menjawab setiap persoalan baru yang timbul hasil ijtihad ulama semasa.
Islam mendatangkan kaedah umum dalam
etika berhias antaranya perhiasan yang dikenakan mestilah tidak digambarkan
seolah-olah meniru atau menyerupai orang kafir dan golongan fasik.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesiapa
yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan
berkenaan.”
(Hadis riwayat Imam Abu Daud dari
Ibnu ‘Umar)
Larangan keras terhadap perbuatan
meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan dan
ibadah bukan saja mengkhususkan kepada menyerupai orang kafir, termasuk meniru
perbuatan orang fasik (iaitu orang yang biasa melakukan maksiat).
Jelasnya, amalan bertindik selain
anggota telinga adalah amalan diambil bukan daripada golongan solihin. Ia
budaya negatif remaja di Barat yang jelas jauh dari adat budaya tatasusila
seorang Muslim. Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup orang lain tanpa
membawa manfaat jelas.
Tambahan, menyeksa diri dan
dibuktikan boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan tubuh badan dan
mampu mendekatkan pelaku dengan jangkitan penyakit seperti Hepatitis B.
Permasalahan mengenai tindik sudah
dijelaskan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam yang menyatakan perbuatan berhias secara aneh dan
berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain cuping telinga adalah
dilarang oleh Islam.
Selain bertindik, remaja kini juga
gemar bertatu dan melihat perbuatan itu seolah-olah tidak menjadi kesalahan
dari sudut pandang agama. Mengukir badan sendiri dengan melakarkan corak atau
bentuk tertentu sehinggakan kesakitan dianggap satu kepuasan.
Bahkan ada yang berbangga memiliki
tatu di badan dengan mempertontonkan kepada orang ramai sedangkan ia membawa
imej seorang Muslim.
Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya
al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan, bertatu di badan adalah perbuatan
yang dilaknat oleh Rasulullah SAW.
Bagi yang sudah tergelincir dan
ingin kembali ke pangkal jalan, timbul pula persoalan untuk menghilangkan tatu
yang ada. Ada segelintir yang menyeksa tubuh badan mereka semata-mata untuk
menghilangkan tatu. Malah, ada yang menggunakan seterika.
Memang benar taubat dapat
menghapuskan dosa, namun taubat juga perlu bertepatan dengan caranya.
Jika menanggalkan tatu itu mendatangkan
kemudaratan atau membuatkan anggota badan nampak jelik, maka harus
membiarkannya dan memadai dengan taubat (baik lelaki mahupun wanita).
Ini pandangan Imam Ibn Hajar
al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari.
Pandangan ini bertepatan firman
Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu
sendiri ke dalam kebinasaan.”
(Surah 2, Al Baqarah , ayat 195)
Namun, tatu itu tetap wajib
ditanggalkan jika ada teknologi yang dapat menanggalkannya dengan mudah dan
tidak mendatangkan mudarat. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Allah tidak
membebani seseorang sesuai dengan kemampuannya.”
(Surah 2, Al Baqarah , ayat 286)
Tidak kira zaman mana pun kita,
etika berhias terbaik adalah pakaian takwa. Semoga dengan mengikut suri teladan
terbaik iaitu Baginda Nabi SAW, membuatkan kita terselamat daripada segala
kecintaan melebihi dari cinta kepada Baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan