Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 13 Ogos 2012

G 35 Amalan Rasulullah SAW melindungi diri di jalanraya


(Irsyad Hukum Di Pelita, Bilangan 98, Jabatan Mufti Brunei)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Islam adalah agama yang menganjurkan umatnya sentiasa menjaga dan menjamin keselamatan diri dan nyawa, harta dan agama, demikian juga dalam perkara-perkara yang lain. Islam menyuruh umatnya supaya berikhtiar sedaya upaya menjauhkan diri dari segala perkara yang boleh merosakkan dan membawa kebinasaan. Hal ini dijelaskan oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan” 
(Surah Al-Baqarah: 195)

Antara tragedi yang mendatangkan kebinasaan dan kemusnahan harta serta jiwa itu ialah kemalangan jalan raya.

Kemalangan jalan raya adalah merupakan salah satu faktor yang banyak membunuh manusia selain penyakit-penyakit yang kronik. Bilangannya juga meningkat dari setahun ke setahun. Berbagai usaha telah dibuat oleh pihak berkuasa dalam menyelamatkan nyawa manusia dari sebarang kemalangan.

Antaranya mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan daripada sebarang pengubahsuaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang. Pemandu-pemandu juga sentiasa diperingatkan agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalanraya termasuk kempen-kempen dan iklan-iklan. Pemandu-pemandu kenderaan dinasihatkan supaya sentiasa mencari langkah dan memastikan keselamatan seperti memakai tali pinggang keledar, memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan lain-lain supaya pengguna jalan raya benar-benar selamat.

Selain itu, ada juga kita dapati papan-papan tanda yang bertulis kalimah “Allahu Akbar” dan “Subhanallah” terutama di jalan dan kawasan yang dikenalpasti sering terjadi kemalangan yang mengakibatkan kematian dan cedera parah. Papan tanda ini dibuat dengan tujuan mengingatkan pemandu-pemandu supaya sentiasa mengingati Allah dan memohon perlindunganNya serta berwaspada ketika memandu. Menurut maklumat yang diterima daripada pihak-pihak yang berkenaan usaha seperti ini adalah memberi kesan yang positif ke arah mengurangkan kemalangan di jalan raya.

Ini bermakna pemasangan kalimah-kalimah suci tersebut adalah merupakan satu usaha yang berkebajikan. Bahkan dari natijah yang baik itu, pemasangan papan-papan tanda seperti itu perlu diperluaskan lagi untuk mengingatkan pemandu agar sentiasa berzikir (mengingati Allah) serta berwaspada ketika memandu. Sikap ingat mengingati dan nasihat menasihati itu adalah dituntut oleh Islam sebagaimana yang dianjurkan oleh Al-Qur’an yang tafsirnya :

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman”.
(Surah Al-Zariyat: 55)

Menurut Islam sememangnya kalimah-kalimah suci seperti yang dinyatakan di atas mempunyai fadilat dan berkat dengan membacanya. Selain berperanan mengingatkan pemandu ia juga merupakan doa dan zikir kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala. Orang-orang yang membacanya akan beruntung kerana mententeramkan jiwa dan sentiasa mendapat ganjaran dan keampunan daripada Allah Subhanhu wa Ta‘ala. Berzikir dalam semua keadaan dan tempat itu adalah perkara yang sangat digalakkan oleh Islam, firman Allah yang tafsirnya :

“Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring”.
(Surah Al-Nisa‘: 103)

Kalimah-kalimah suci yang dibuat di papan tanda tersebut tidaklah menjadi kesalahan dan harus dibuat sedemikian untuk mengambil berkat daripadanya. Keharusan ini boleh dikaitkan dengan amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda dilantik sebagai Rasul, di mana Baginda memperkenalkan Islam kepada orang-orang Arab atau bukan Arab serta mengajak mereka menganutnya, dengan cara mengirim surat kepada raja-raja dan surat-surat tersebut mengandungi kalimah-kalimah dan ayat Al-Qur‘an seperti kalimat Basmalah dan ayat 64 surah Ali Imran.

Keharusan ini juga mestilah mengambil kira tentang kehormatan kalimah-kalimah suci itu daripada tercemar atau apa juga perkara yang boleh menjejaskan kehormatannya seperti terdedah kepada najis-najis burung, atau ia terbiar dengan debu-debu. Kalimah-kalimah suci tersebut hendaknya tidak dipasang pada kayu atau tiang yang tidak kukuh sehingga mudah tumbang atau jatuh dan sebagainya. Kalimah-kalimah suci itu juga memerlukan pengawasan dan pemeliharaan supaya tidak tercemar.

Bagi memenuhi fadilat dan berkat dan mengelakkan dari sebarang kesilapan sebutan atau bacaan, kalimah-kalimah suci itu hendaklah ditulis dengan jelas beserta dengan baris-barisnya sekali.
Selain daripada langkah-langkah fizikal yang dibuat bagi mengelakkan terjadinya kemalangan jalanraya itu, Islam lebih menggantungkan keselamatan diri dan semua perkara kepada kehendak dan kudrat Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui doa-doa dan zikir-zikir.

Kita perlu memohon perlindungan Allah Subahanhu wa Ta‘ala daripada sebarang bahaya, dan kejahatan sama ada dari manusia, jin dan syaitan pada setiap keadaan. Antara amalan-amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkara ini ialah membaca:

- Surah Al-Fatihah
- Surah Al-Ikhlas (3 kali)
- Surah Al-Falaq (3 kali)
- Surah Al-Naas (3 kali)
- Surah Ghafir ayat 1 hingga 3
- Surah Al-Mukminun ayat 97 hingga 98

Sebelum keluar rumah hendaklah dibiasakan membaca:

- Surah Al-Fatihah
- Ayat Al-Kursi
- Surah Al-Quraisy
- Doa ketika keluar rumah:

Maksudnya: Dengan nama Allah aku bertawakkal kepadaNya dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan (daya upaya dan kekuatan) Allah, aku berlindung dengan Mu daripada perbuatan sesat atau disesatkan  atau daripada binasa atau dibinasakan, atau daripada zalim atau dizalimi atau daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan.

Ketika menaiki kenderaan hendaklah dibiasakan membaca doa berikut, iaitu yang tafsirnya :

“Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Allah kami akan kembali”.
(Surah Al-Zukhruf; 13-14)

Jika di dalam perjalanan menemui hujan, guruh, angin dan kilat, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan kita supaya membaca:

 a. Ketika hujan turun yang maksudnya :
Ya, Allah jadikanlah ia (hujan) sebagai hujan yang menyenangkan.

b. Ketika mendengar guruh dan petir, membaca yang maksudnya :
“Ya Allah janganlah engkau matikan kami dengan kemurkaanMu dan janganlah engkau binasakan kami dengan azabMu dan ampunkanlah kami sebelum itu”.

c. Semasa angin bertiup kencang, membaca yang maksudnya :
“Ya Allah aku memohon kepadaMu kebaikan (angin ini) dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang ada engkau utuskan bersertanya, aku memohon perlindunganMu daripada keburukannya dan keburukan yang ada padanya serta keburukan yang engkau utuskan bersertanya”

Mudah-mudahan dengan membaca ayat-ayat, doa-doa dan mengamalkan zikir-zikir tersebut, kita semua mendapat berkat dan terhindar daripada sebarang malapetaka ketika berada dalam perjalanan.
Rujukan :
http://www.muslimdiary.com/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan