Telah kita katakan bahawa kita mesti
beribadah kepada Allah swt lahir dan batin. Ibadah lahir disebut syariat.
Ibadah batin disebut hakikat. Orang yang sudah melaksanakan syariat akan
terlihat oleh kita tandanya iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa,
zakat, haji, membaca al Quran, selawat, zikrullah, menutup aurat, menuntut
ilmu, bersilaturrahim dan cara hidup lainnya yang diperintahkan oleh Allah SWT
dengan meninggalkan (tidak melakukan) segala sesuatu yang dilarang oleh Allah swt.
Begitu juga orang yang melakukan
ibadah batin, terlihat juga tanda-tandanya. Tanda-tanda itu tidak dapat dilihat
oleh mata lahir kita, sebab tersembunyi di dalam hati. Hal itu hanya dapat dilihat oleh orang itu sendiri dengan merasakan gerak dan
arah perjalanan hati kita. Hati yang sudah melakukan ibadah berbeza dengan hati
yang masih durhaka.
Untuk mengetahui perbezaan itu
supaya kita dapat mengenal hati kita, apakah sudah taat atau masih durhaka,
saya akan tunjukkan tanda-tanda atau sifat-sifat hati yang tinggi kedudukannya,
yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan ibadah batin.
1. SYARIATNYA KUAT
Orang yang kuat beribadah batin
pasti akan kuat pula ibadah lahirnya (syariat). Tetapi perlu diingat bahawa
orang yang kuat syariat lahir saja belum tentu kuat ibadah batinnya. Hal itu
disebabkan pada diri kita, hati (jasad batin) adalah pemimpin sedangkan
anggota-anggota lain (jasad lahir) sebagai pekerja. Kita makan kerana hati kita
menyuruh kita makan. Kaki dan tanganpun bekerja untuk mencari makanan. Kita
hendak ke masjid adalah kerana amalan hati kita. Kaki kita hanya menurut saja.
Tetapi kalau hati tidak mahu pergi walau masjid di sebelah rumahpun, kaki tidak
akan melangkah pergi.
Begitu besarnya kuasa dan peranan
hati dalam menentukan corak hidup kita. Sebab itu kalau hati sudah baik, taat
menghambakan diri pada Allah swt, hati akan mengarahkan semua anggota lahir
untuk tunduk menyembah kepada Allah SWT. Semua perintah Allah swt akan ditaati
tanpa tanya jawab lagi. Semua larangan Allah swt akan ditinggalkan tanpa
ragu-ragu.
Firman Allah swt : Terjemahannya :
Dan mereka berkata, “Kami dengar dan kami taat.” (Dan mereka
berdoa), “Tuhan, kami mohon keampunanMu, dan kepadaMulah tempat kembali.”
(Surah 2, Al
Baqarah : ayat 285)
Solat fardhunya baik, solat sunat
hajat dan lain-lain tidak ditinggalkan. Puasa sunat dianggap penting dan selalu
dilakukan dengan senang hati. Membaca al Quran, selawat, wirid, zikir, tahlil,
tasbih dan tahmid dan lain-lain telah menjadi nyanyian rutin yang mengasyikkan.
Berjuang untuk menyebarkan agama Allah swt terasa satu kewajipan yang mesti dilakukan
sehingga tidak pernah jemu dan letih kerana perjuangan.
Kuat berkorban harta, fikiran, waktu dan
tenaga untuk membantu Islam dan umat Islam. Tidak bermewahan dengan rezeki
pemberian Allah swt sekalipun halal dan hanya diambil sesuai keperluan saja.
Kelebihannya diserahkan untuk jihad. Sebab itu rumahnya sederhana, pakaian, dan
makan minum juga sederhana. Kerana hatinya menyuruh tutup aurat maka ia akan
melakukannya tanpa peduli apa yang dikatakan orang. Hatinya menyuruh berderma
dan bersedekah maka ia akan melakukannya tanpa takut miskin dan bimbang pada
hari depan. Hatinya menyuruh ia berjemaah sesama kaum muslimin maka iapun ikut
berjemaah tanpa ragu meninggalkan alam dan kawan di luar jemaah.
Kerana hatinya menyuruh menghentikan
pergaulan bebas maka ia akan berhenti tanpa takut kehilangan jodoh. Dan apa
saja yang disuruh oleh hatinya, ia akan taat. Hati yang taat dan takut pada Allah swt akan menyuruh kita mengikuti semua
suruhan Allah swt. Tidak pernah terlintas dalam hati orang-orang soleh satu keinginan
untuk durhaka pada Allah swt. Hatinya tidak pernah berencana untuk melakukan
larangan Allah swt.
Sebab itu orang yang kuat ibadah batinnya,
cukup kuat meninggalkan hal-hal yang haram, makruh dan subahat. Tidak melakukan
zina, tidak menipu, tidak minum arak, tidak berjudi, tidak mengambil pinjaman
riba (bank) untuk membeli rumah atau kenderaaan, tidak terlibat dengan rasuah, tidak
berkhianat, tidak merokok, tidak mengumpat, tidak memfitnah, tidak bergaul
bebas lelaki dan perempuan, tidak membazir dan bermewah-mewah, tidak
berfoya-foya, tidak terlibat dengan muzik-muzik haram, tidak bercintaan antara
lelaki perempuan secara haram dan lain-lain.
Hati yang kuat dengan Allah swt akan
melarang keras untuk terlibat dengan pekerjaan yang dikutuk oleh Allah swt.
Hati yang sempurna ibadahnya akan menolak semua perkara yang dibenci Allah swt.
Tegasnya hanya hati kita yang boleh
membetulkan diri kita dan hati juga yang boleh menjahanamkan kita. Kalau hati
baik, tindakan kita akan baik. Dan kalau hati jahat, tindakan kita akan jahat
juga.
Konsep ‘hati baik’ itu pun jangan disalahertikan. Jangan kita katakan, ”Tidak solatpun tidak apa-apa, asalkan hati kita baik. Tidak menutup auratpun tak apa, asal hati kita baik.”
Kalau kita katakan begitu, maka kita telah membuat dua
kejahatan. Pertama kita telah berani membantah suruhan Allah swt kerana solat
dan tutup aurat itu suruhan Allah swt. Kedua, kita menganggap hati kita baik,
padahal hati kita masih durhaka pada Allah swt. Hati yang tidak mahu solat atau
tutup aurat itu adalah hati yang durhaka pada Allah swt. Hati yang baik adalah hati yang taat dan takut pada Allah swt.
Bila hati taat maka kita akan mentaati seluruh perintah Allah swt. Bila hati
kita baik kita akan kuat bersyariat.
2. MENDAPAT KEJERNIHAN ATAU
KERINGANAN BATIN
Apabila seseorang hamba itu sudah
mendapat kerohanian yang tinggi, hatinya (batinnya) akan menjadi suci dan
ringan. Allah SWT berfirman : Terjemahannya
"iaitu mereka yang memenuhi janji Allah dan tidak pula merosakkan perjanjian."
(Surah 13, Ar Raad
: ayat 20)
"Dan mereka menghubungi apa-apa yang Allah perintahkan supaya
dihubungkan (silaturrahim) dan mereka takut pada Tuhan mereka dan takut pada
hisab yang buruk."
(Surah 13, Ar Raad
: ayat 21)
"Dan mereka juga bersabar dalam mencari keredhaan
Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan
pada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan. Dan mereka menutupi
kejahatan dengan kebaikan. Mereka itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang
baik)."
(Surah 13, Ar Raad : ayat 22)
"(iaitu) syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya
bersama-sama dengan orang-orang yang soleh di kalangan bapa-bapanya,
isteri-isterinya dan anak cucunya, sedangkan malaikat-malaikat masuk menemui
mereka di semua pintu masuk."
(Surah 13, Ar Raad : ayat 23)
"(Sambil mengucapkan) “Salam sejahtera kerana kesabaran
kamu,” maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu."
(Surah 13, Ar Raad : ayat 24)
Apabila ruh sudah suci dan ringan
maka hati terasa ringan untuk mentaati Allah swt. Nafsu kita akan berubah dari
nafsu yang rendah kepada nafsu mutmainnah. Di waktu itu kita akan sentiasa
merasa kita adalah hamba Allah, ingin hidup sebagai hamba dan rela menerima apa
saja qadak dan qadar Allah swt tanpa mempertanyakan lagi atau resah gelisah.
Untuk lebih jelas akan saya paparkan
sifat-sifat hati yang saya maksudkan:
1. Rasa malu kepada Allah swt kerana sentiasa
merasa diawasi oleh Allah SWT.
2. Rasa takut dan hebat pada Allah swt kerana
terasa diri selalu berada dalam kuasa Allah swt, sehingga Allah swt boleh
berbuat apa saja seperti sakit, miskin, mati dan lain-lain.
3. Selalu merasa berdosa pada Allah swt, bukan
hanya di depan manusia kerana ada kesalahan tersembunyi yang tidak dapat
diketahui seperti dosa-dosa hati. Sebab itu dia selalu menangis seorang diri,
bukan di depan orang, kerana takut dosanya tidak terampuni.
4. Tidak menunda-nunda urusan dengan Allah swt kerana
hati selalu merasa kedatangan maut itu boleh terjadi bila-bila saja.
5. Setiap kali membuat kesalahan yang kecil
hatinya merasa takut dan terhina di depan Allah swt, sehingga cepat-cepat
meminta ampun kepada Allah SWT.
6. Setiap kali selesai beramal, hati merasa itu
adalah kurnia Allah swt, bukan kemampuan dirinya. Dia tidak merasa bangga kerana
merasa amalannya tidak sempurna. Kerana itu ia mengharapkan belas kasihan dari
Allah swt agar menerima amalannya.
7.
Kalau Allah swt menentukan satu peristiwa
terjadi pada dirinya, hatinya akan redha dengan apa yang terjadi tanpa kesal
dan keluh-kesah. Dia sedar dirinya yang rendah layak menerima apapun takdir
Allah swt.
8. Setiap kali melihat pemandangan alam yang
indah, hati segera merasakan kebesaran Allah swt.
9.
Kalau dia mendapat kejayaan atau nikmat,
hatinya segera merasakan bahawa itu adalah pemberian dari Allah swt bukan
kemampuan sendiri. Kerana itu dia merasa takut pada Allah swt, kerana
menyalah gunakan atau kurang mensyukuri nikmat yang diperoleh.
10. Kalau dia menderita kemiskinan atau tidak
memperoleh nikmat, hatinya terasa tenteram kerana dia merasa bebas dari
tanggungjawab untuk menjaga amanah Allah swt.
11. Kalau mendapat musibah seperti sakit, hati boleh
merasa tenang kerana merasakan bahawa bencana (musibah) adalah kifaraf
(balasan) dosanya. Dia merasa lebih baik dihukum di dunia daripada dihukum di
akhirat. Penderitaan di dunia adalah pengampunan dosa di akhirat.
12.
Bila mendapat pujian, hati merasa tidak senang
sebab pujian itu tidak layak baginya dan boleh merosak rasa kehambaannya.
13. Kalau dikeji atau dihina orang, hatinya merasa
kasihan pada orang yang menghinanya dan segera memaafkan orang itu tanpa
diminta. Dia merasa bahawa dosanya telah menyebabkan dia dihukum seperti itu.
Kalau tidak begitu dia tidak akan mendapat pahala dari penghinaan itu. Sebab
itu dia tidak berniat sama sekali untuk membalas perbuatan orang itu.
14. Dia selalu berlapang dada berhadapan dengan
aneka ragam manusia dan kesusahan yang manusia timpakan ke atasnya.
15. Dia tidak bangga dengan nikmat, tidak gelisah
dengan musibah, tidak merasa tenang dengan pujian dan tidak menderita dengan
cacian. Hatinya selalu merasa sebagai hamba yang serba kekurangan dan sangat
memerlukan Allah SWT dalam setiap keadaan.
16. Kalau dia melihat atau mengetahui orang
membuat maksiat, dia bersyukur pada Allah swt kerana dirinya selamat dari maksiat.
Sebab itu dia tidak menghina orang itu bahkan dia merasa kasihan, ingin
menolong dengan memberi nasihat. Bahkan dia tidak menaruh sangka jahat pada
orang itu. Dia menganggap kesalahan itu adalah kerana tidak tahu, lupa ataupun
tidak sengaja.
17. Ketika berhadapan dengan orang yang
memarahinya, dia tidak ikut marah dan tidak melawan berdebat sekalipun dia
benar.
18. Bila berhadapan dengan kepandaian orang lain,
dia akan menerima ilmu atau kebenaran sekalipun dari seorang kanak-kanak. Kalau
bermuzakarah dia tidak memperlihatkan bahawa dirinya pandai sehingga tidak
merasa bangga diri Kalau ada yang memuji orang lain di hadapannya dia tidak
sakit hati sebab dia faham bahawa kuasa hak Allah swt yang melebihkan dan
mengurangkan nikmat pada hamba-hambaNya.
19. Kalau ada orang lain menyelesaikan kerjanya,
dia tidak menggerutu sebab dia merasa dia dibantu.
20. Kalau dia digemari oleh banyak orang, dia
tidak merasa bangga sebaliknya dia bimbang kalau hal itu membuat dirinya riak.
21. Dia tidak makan seorang diri. Kalau memberi
bantuan pada seseorang, tidak di hadapan orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan